Saturday, June 13, 2026

Wira di sebalik kejayaan juara superbike muda dunia

Dia bukan tokoh ternama, bukan hartawan, sebaliknya hanya seorang mekanik motosikal yang hidup sederhana dengan rezeki hasil sebuah bengkel kecil. 

Mesti Baca

DI sebalik sorakan gemuruh di litar Sepanyol yang menyaksikan anak muda Terengganu, Qabil Irfan Azlan, muncul juara Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 kategori Talent, tersembunyi sebuah kisah pengorbanan luar biasa seorang ayah yang tidak pernah lelah berjuang untuk anaknya.

Ayah itu ialah Azlan Abdul Rahman, atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Lan Jawa. 

Dia bukan tokoh ternama, bukan hartawan, sebaliknya hanya seorang mekanik motosikal yang hidup sederhana dengan rezeki hasil sebuah bengkel kecil. 

Namun, di sebalik kesederhanaan itu, Lan Jawa memilih jalan penuh getir — mengorbankan harta, masa, dan sumber rezeki demi memastikan anaknya mampu menjejakkan kaki ke litar antarabangsa.

Demi Qabil, 13, dua buah kereta dilepaskan, simpanan bertahun-tahun habis dibelanjakan, malah bengkel motosikal yang menjadi punca nafkah terpaksa ditutup.

Azlan sentiasa berada di sisi anaknya, Qabil Irfan.

Semuanya kerana dia mahu menemani anaknya mengejar impian di bumi asing.

“Harta boleh dicari semula, tetapi peluang anak mungkin datang sekali seumur hidup,” kata Azlan dengan penuh yakin.

Perjalanan itu bukan mudah. Panas terik di litar, perbelanjaan besar, perjalanan jauh, malah ketidakpastian masa depan menjadi teman setia. 

Namun Lan Jawa tidak pernah berpatah balik. Doa dan semangatnya menjadi tonggak, hingga akhirnya Qabil berdiri megah di podium Sepanyol dengan bendera Malaysia berkibar diiringi lagu Negaraku.

Qabil Irfan muncul juara keseluruhan perlumbaan ESBK Talent 2025 dalam usia 13 tahun.

Kisah pengorbanan Lan Jawa turut mengundang rasa terharu banyak pihak.

Malam tadi, keluarga Lan Jawa diraikan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam sebuah majlis makan malam ringkas.

Menurut Razif, penghormatan itu sebagai tanda pengiktirafan bukan sahaja kepada seorang juara muda, tetapi juga kepada seorang ayah yang sebenar-benar wira.

Lebih bermakna, kejayaan Qabil mempunyai kaitan dengan pembangunan sukan permotoran di Terengganu yang dicetuskan oleh Razif sebelum ini.

Litar Pemotoran Gong Badak yang dibina lebih dua dekad lalu bagi mengekang lumba haram, kini membuktikan nilainya apabila melahirkan seorang juara dunia. 

Azlan menerima sumbangan daripada Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dari litar kecil itu, lahir bakat besar yang kini mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.

Kejayaan ini bukan sekadar tentang kelajuan di litar, tetapi juga tentang kasih sayang, ketabahan dan pengorbanan. 

Qabil mungkin juara di trek, namun di balik kegemilangan itu berdiri seorang ayah bernama Lan Jawa — seorang wira sejati yang menjadikan mimpi anaknya satu kenyataan. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan