KIRA-KIRA 99 peratus pemandu kenderaan persendirian menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan, kata Kementerian Kewangan (MOF).
MOF berkata, ia berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) dan data itu digunakan oleh kerajaan untuk menetapkan siling kelayakan pembelian RON95 sebulan.
“Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kaedah Budi Madani RON95 (BUDI95) semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
Menjelaskan perkara itu, MOF berkata, siling kelayakan bulanan yang tinggi itu juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat
komersial berskala besar.
Katanya, bagi memudahkan rakyat menyemak profil kelayakan serta baki penggunaan kelayakan bulanan, kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9 pagi hari Khamis, 25 September ini.
“Pemandu e-panggilan juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal ini,” katanya.
Dalam pada itu MOF berkata, kerajaan akan memperuntukkan kira-kira RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.
Katanya, dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
“Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan MOF menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk mengehadkan pembelian petrol RON95 kepada hanya sekali sehari sepertimana dilapor oleh beberapa media.
MOF berkata, walaupun kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelak penyalahgunaan subsidi RON95, BUDI95 dilaksana dengan hasrat memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“MOF ingin menjelaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian.
“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” tegas MOF. – Edisi 9

