SEORANG aktivis yang diburu pihak berkuasa sejak lebih 10 tahun lalu tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas perbuatannya sebelum ini.
Ali Abd Jalil yang kini menetap di Eropah selepas melarikan diri pada 2014 sebelum mendapatkan suaka politik daripada Sweden, membuat pernyataan maaf itu menerusi Facebooknya malam tadi.
“Aku minta maaf kepada semua rakyat Malaysia jika ada buat salah. Dulu darah muda, sekarang dah dewasa,” katanya.
Ali, 40, juga memohon maaf kepada PDRM dan kerajaan Malaysia serta mendakwa bahawa tindakannya dahulu kerana pengaruh politik pembangkang.
“Dulu aku terpengaruh dengan politik pembangkang. Sekarang aku sedar dan menyesal atas perbuatan tidak baik aku sebelum ini. Sekarang aku sudah insaf,” katanya lagi.
Ali juga berharap kerajaan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan PDRM memaafkan perbuatannya.
Dia juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa kerana hasratnya kini untuk menumpukan perhatian kepada ibadah.
“Semoga kerajaan Malaysia, imigresen dan PDRM sudi maaf kan aku. Aku sedia beri kerjasama. Aku cuma mahu jadi manusia baik. Utamakan ibadah,” jelasnya.
Pada 2014, Ali telah ditahan dan dipenjarakan selama 22 hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin atas dakwaan menghina kerabat diraja Johor serta Sultan Selangor menerusi Facebooknya.
Pada Oktober tahun tersebut dia dilapor meninggalkan negara melalui Danok, Thailand sebelum ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan.
Ekoran tindakannya itu, Jabatan Imigresen Malaysia telah membatalkan pasport antarabangsanya dan dia tidak lagi kembali ke tanah air.
Sementara itu, beberapa pengikut Facebooknya melahirkan rasa syukur atas keinsafannya dan berharap dia kembali semula ke tanah air.
Menanggapi harapan tersebut, dia berkata “burung pasti pulang ke sarang” sebagai tanda keinginannya untuk kembali ke tanah air.
Dia juga menyatakan kerinduannya untuk melepak sambil menikmati teh tarik bersama teman-temannya. — Edisi 9

