PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Dili, Timor-Leste bagi memulakan lawatan rasmi beliau selama dua hari ke negara itu.
Ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato disambut Presiden Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão.
Anwar menganggap ketibaan beliau yang disambut dengan iringan persembahan kebudayaan yang penuh harmoni sebagai cerminan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.
“Dalam satu simbolik istimewa, saya dijemput menaiki Mini Moke, kenderaan klasik berbumbung terbuka yang sinonim dengan gaya Ramos-Horta mendekati rakyat pada majlis rasmi.
“Malah beliau sendiri memandu, dengan saya di tempat duduk hadapan dan Gusmão di belakang, sebelum kami bertiga meneruskan perjalanan bersama ke sebuah hotel berdekatan,” katanya menerusi media sosial hari ini.
Ini merupakan kunjungan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun sekali gus mencerminkan sokongan berterusan negara terhadap aspirasi republik itu untuk menyertai ASEAN.
Anwar berkata, lawatan rasmi itu penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.
“Moga segala perancangan dan agenda yang diatur dipermudahkan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menubuhkan kedutaan di Dili pada malam kemerdekaan Timor-Leste pada Mei 2002, dan hingga kini kekal sebagai antara penyokong kuat negara demokrasi muda itu, yang memiliki hampir 1.4 juta penduduk, sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 rantau itu di Kuala Lumpur bulan depan.
Lawatan itu juga dijangka memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dan lebih 1,000 warga Timor-Leste telah mendapat manfaat daripada latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia manakala 55 pelajarnya sedang melanjutkan pengajian di Malaysia. – Edisi 9

