Saturday, June 13, 2026

Meta gagal banteras aktiviti jenayah dalam talian – Fahmi

Berdasarkan statistik JSJK PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta mencatat jumlah kerugian terkumpul melebihi RM248 juta, melibatkan lebih 18,128 kes.

Mesti Baca

PLATFORM media sosial Meta gagal membanteras aktiviti jenayah dalam talian terutama menerusi platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi tempoh 2023 hingga Ogos lalu mencatat jumlah kerugian terkumpul melebihi RM248 juta, melibatkan lebih 18,128 kes.

“Jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memainkan peranan sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

“Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan dengan pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya hari ini.

Mesyuarat turut disertai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk M. Kumar; Pengarah JSJK PDRM, Datuk Rusdi Mohd Isa; wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Fahmi berkata, pertemuan itu memberi fokus kepada isu-isu kritikal membabitkan platform Meta, khususnya Facebook.

Beliau berkata, ini termasuklah aktiviti judi dalam talian, penipuan, penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (agama, kaum, institusi diraja) serta penjualan produk terlarang (cecair e-rokok mengandungi dadah).

“Setakat 19 September 2025, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi platform Facebook sahaja.

“Jumlah ini mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan jumlah tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.

Manakala bagi aktiviti penipuan pula, katanya, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan.

“Baki kandungan masih kekal beredar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Katanya, Meta dan semua platform media sosial lain juga telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan (seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID, antara lain) untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun.

Ini kerana tegas beliau, sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur, serta tidak berjaya melindungi mereka daripada kandungan yang tidak sesuai.

“Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital. Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan,” katanya.

Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan, serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan