RISDA Fleet Sdn Bhd (RFSB), anak syarikat Kumpulan RISDA Holdings memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pengangkutan halal apabila menerima Pensijilan Logistik Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini.
Pensijilan itu diserahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Dr. Mohamad Kori Jusoh kepada Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, dengan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen hari ini.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejayaan RFSB memperoleh pensijilan tersebut sebagai satu langkah besar dalam memperkukuh kedudukan RISDA sebagai penyedia utama logistik halal negara.
“Saya bangga melihat RFSB mematuhi standard MS2400-1:2019 dalam pengangkutan minyak sawit mentah, sekali gus menyokong pertumbuhan industri halal Malaysia di mana nilai eksport negara direkodkan bernilai RM61.79 bilion pada 2024. “
“Insya-Allah, 200 lagi lori sedang dalam proses pendaftaran bagi pensijilan ini, termasuk perancangan penggunaan lori sejuk beku halal bagi masa hadapan,” katanya sempena majlis tersebut.
Dalam pada itu, Manndzri berkata, sebanyak 18 lori tangki RFSB terlibat dalam pensijilan tersebut yang meliputi Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Halal khususnya bagi pengangkutan minyak sawit mentah (CPO), selaras dengan Piawaian Malaysia MS2400-1:2019.
“Pensijilan tersebut memastikan setiap aspek operasi logistik mematuhi piawaian kebersihan, keselamatan serta syariah,” katanya.
Beliau berkata, RFSB turut merancang mendaftarkan 200 lagi lori untuk mendapatkan pensijilan sama, selain memperluaskan skop kepada perkhidmatan pengangkutan sejuk beku menggunakan lori sejuk beku dan kontena halal.
Langkah strategik itu, jelas beliau, memperlihatkan komitmen RFSB dalam menyokong pertumbuhan industri halal negara yang mencecah nilai RM61.79 bilion pada 2024.
Katanya, ini sekali gus memperkukuh eksport halal Malaysia serta mengangkat transformasi logistik halal di peringkat domestik dan antarabangsa.
Sejak ditubuhkan pada 2002, RFSB yang merupakan anak syarikat Kumpulan RISDA Holdings, kekal memainkan peranan penting dalam sektor pengangkutan dan rantaian sistem penyampaian RISDA, dengan tumpuan khusus terhadap penyelesaian logistik halal. — Edisi 9

