Wednesday, June 17, 2026

Kempen kesedaran antibuli peringkat nasional akan dilaksana

Kementerian Komunikasi akan menggunakan segala saluran termasuk radio dan televisyen, media sosial serta platform digital bagi menggerakkan kempen tersebut secara menyeluruh.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Komunikasi akan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh sebagai salah satu usaha untuk membanteras gejala itu di semua peringkat.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia sebagai menjunjung hasrat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan titah agar kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah. 

Menurut Fahmi, pihaknya akan menggunakan segala saluran termasuk radio dan televisyen, media sosial serta platform digital bagi menggerakkan kempen tersebut secara menyeluruh.

“Titah Baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi hari ini diberi perkenan mengadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melaksanakan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu.

Kementerian juga, tegasnya, akan mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat.

“Titah Seri Paduka Baginda bertepatan dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk menangani isu buli dengan lebih tegas,” katanya.

Sementara itu, jelas Fahmi, kementeriannya juga akan memastikan mesej disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja.

Katanya, hal ini selaras dengan hasrat Seri Paduka Baginda agar generasi muda memahami erti hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak kecil.

“Saya menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media, untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli.

“Hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan