PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa setiap pemimpin parti perlu menyedari bahawa jawatan yang dipegang adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
Beliau berkata, kedudukan dalam parti mahupun Kerajaan tidak harus dilihat sebagai keistimewaan peribadi, sebaliknya ia adalah satu bebanan kepercayaan yang menuntut komitmen dan kesungguhan tanpa berbelah bahagi.
“Saya hadir ke Raub bukan sekadar untuk memberi penerangan dan penjelasan, tetapi juga untuk mendengar sendiri denyut nadi ahli-ahli parti dan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub hari ini.
Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abdul Aziz Kiram.
Zahid turut mengakui bahawa landskap politik hari ini semakin mencabar dan keputusan yang dibuat kadangkala tidak popular dalam kalangan rakyat.
Namun katanya, sebagai pejuang politik yang berprinsip, UMNO tidak boleh lari daripada membuat keputusan yang penting demi kestabilan dan masa depan negara.

“Dalam perjuangan, bukan semua keputusan itu selesa, tetapi ia mesti berprinsip. UMNO Raub telah membuktikan daya tahan, kesetiaan dan keikhlasan yang tinggi dalam menempuh pelbagai cabaran,” katanya.
Menurut beliau, apa yang diperlukan UMNO ketika ini ialah kesatuan hati, semangat juang yang kental dan keazaman yang tidak mudah goyah meskipun berdepan dengan pelbagai ujian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang atas sokongan padu dan pendirian teguh bersama saf kepimpinan parti dalam saat suka dan duka.
Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, mesyuarat perwakilan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi medan memperbaharui tekad, memperkukuhkan perpaduan serta merancang strategi bagi menjamin kelangsungan UMNO dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
“UMNO Bahagian Raub sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh jentera parti dan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Beliau percaya dengan azam dan iltizam yang utuh, UMNO mampu terus melangkah ke hadapan demi mempertahankan kesucian Islam, memimpin harapan bangsa dan memelihara kedaulatan tanah air. — Edisi 9

