PERJUANGAN UMNO akan terus kekal relevan selagi parti itu berpegang kepada prinsip berpaksikan Islam sebagai Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu, kedudukan raja-raja dan hak istimewa orang Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun ada pihak yang terus menafikan peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, namun beliau menggariskan usaha-usaha yang telah dijuarai oleh UMNO.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini terutamanya memperkenalkan Dasar Tahfiz Negara, mewujudkan Tabika Pra-Tahfiz dan MRSM Ulul Albab, memperkenalkan TVET Tahfiz dan lain-lain.
“Saya turut menggesa seluruh ahli UMNO untuk terus bekerja keras bagi memastikan UMNO kembali menjadi parti yang dominan.
“Syaratnya, kita mesti terus merapatkan saf dan mengelak perpecahan, serta memanfaatkan kekuatan media sosial untuk mendekati golongan muda,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Sebelum itu Ahmad Zahid hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Gurun, Kedah, semalam.
Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Mengenai situasi politik di Kedah hari ini, Ahmad Zahid berkata, beliau memahami realiti UMNO di negeri itu khususnya di Jerai.
“Saya melihat kesatuan seluruh ahli UMNO di peringkat akar umbi semakin jelas bagi menawan kembali kerusi Jerai dan kerusi-kerusi lain di negeri ini,” katanya. — Edisi 9

