Tuesday, July 21, 2026

Agong berkenan serah suratcara lantikan Ketua Hakim Negara

Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan kepada Datuk Abu Bakar Jais diikuti Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Mesti Baca

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri si Jabatan Perdana Menteri, Datuk SeriAzalina Othman Said serta Setiausaja Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pada istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diikuti istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia.

“Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan kepada Datuk Abu Bakar Jais diikuti Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi,” kata kenyataan menerusi Facebook Seri Paduka Baginda.

Wan Ahmad Farid, 62, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.

Sultan Ibrahim berkenan bergambar bersama para penerima suratcara pelantikan hakim-hakim atasan di Istana Negara hari ini.

Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.

Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.

Susulan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan Suratcara Pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan kepada Dr. Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim, Nadzarin Wok Nordin, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan K. Muniandy.

Turut dikurniakan Suratcara Pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi adalah Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Dr. Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohamad dan Indra Nehru Savandiah.

Selain itu, Suratcara Pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi turut dikurniakan kepada M.Sumathi, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Mohd Rosli Yusoff, Dr. Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Sementara itu Anwar menerusi media sosialnya berkata, istiadat pengurniaan suratcara oleh Seri Paduka Baginda itu mencerminkan keluhuran prinsip Perlembagaan dan keutuhan sistem kehakiman negara kita.

“Pelantikan ini bukan sahaja satu penghormatan besar kepada individu-individu yang telah menunjukkan integriti dan dedikasi tinggi dalam bidang kehakiman.

“Tetapi juga merupakan komitmen berterusan negara dalam menjunjung prinsip keadilan, kebebasan badan kehakiman, dan keluhuran undang-undang.

“Moga kesemua yang dilantik ini terus memikul amanah dengan penuh hemah, adil dan berintegriti demi Malaysia yang berteraskan undang-undang dan keadilan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan