Sunday, June 14, 2026

Sebatian semula jadi tumbuhan buka laluan ubat regeneratif

Antara contoh paling signifikan ialah paclitaxel, sebatian daripada pokok Taxus brevifolia yang digunakan dalam rawatan kanser, dan artemisinin daripada Artemisia annua...

Mesti Baca

TUMBUHAN tempatan berpotensi menjadi sumber utama dalam penghasilan ubat regeneratif dan rawatan pelbagai penyakit kronik pada masa hadapan, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Liew Sook Yee.

Beliau berkata, tumbuhan bukan sekadar komponen ekosistem, malah menyimpan ribuan sebatian aktif yang terbukti memberi kesan positif dalam rawatan pelbagai penyakit, termasuk kanser dan malaria.

“Amalan perubatan tradisional yang telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu sebenarnya memberi petunjuk awal kepada potensi terapeutik tumbuhan, walaupun tanpa sokongan data klinikal moden,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Dr. Liew menjelaskan, antara tahun 1981 hingga 2019, lebih 25 peratus ubat moden yang diluluskan berasaskan sebatian semula jadi atau analog sintetik yang diinspirasikan daripada tumbuhan.

Antara contoh paling signifikan ialah paclitaxel, sebatian daripada pokok Taxus brevifolia yang digunakan dalam rawatan kanser, dan artemisinin daripada Artemisia annua, ubat utama merawat malaria yang penemuannya mendapat pengiktirafan Hadiah Nobel.

Malaysia, katanya, sebagai negara megabiodiversiti, memiliki lebih 15,000 spesies tumbuhan vaskular, namun hanya sebahagian kecil sahaja telah dikaji dari segi potensi farmaseutikal.

“Masih banyak sebatian belum diterokai, dan ini merupakan peluang besar buat negara dalam penyelidikan dan pembangunan ubat baharu,” jelasnya.

Justeru, beliau bersama pasukannya telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Inno Therapeutics Sdn. Bhd., syarikat bioteknologi tempatan yang fokus kepada pembangunan ubat, vaksin dan terapi selular.

“Matlamat projek ini adalah untuk mengenal pasti sebatian tumbuhan yang berpotensi digunakan dalam ubat regeneratif, khusus bagi rawatan penyakit degeneratif dan kronik,” katanya.

Dr. Liew turut menegaskan kepentingan kerjasama antara akademia, industri dan masyarakat dalam memelihara biodiversiti dan menyokong penyelidikan tempatan.

“Tumbuhan ialah aset strategik negara, bukan hanya dari sudut ekologi tetapi juga dalam bioekonomi dan kesihatan awam. Sokongan masyarakat terhadap pemuliharaan akan menjadi kunci kepada kesinambungan penyelidikan,” ujarnya.

Beliau menggesa masyarakat supaya lebih menghargai tumbuhan bukan sekadar sebagai landskap semula jadi, tetapi sebagai sumber ilmu perubatan yang mampu mengubah landskap kesihatan global. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan