MALAYSIA International FELDA Band & Orchestra Festival (MIFBOF) 2025 anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) semalam mendapat pengiktirafan sebagai Persembahan Orkestra Simfoni Terbesar oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Ini berikutan seramai 735 pemuzik telah tampil serentak menerusi satu persembahan berskala besar sempena penutupan festival tersebut yang berlangsung pada 5 dan 6 Julai di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh wakil rasmi MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, sekali gus mengangkat nama FELDA sebagai agensi yang berjaya menerajui penganjuran acara seni muzik terbesar negara.
“Kemuncak festival menyaksikan paduan 14 pasukan orkestra menyampaikan lagu warisan Wau Bulan dalam sebuah persembahan istimewa yang menjadi simbol perpaduan dan semangat kebangsaan.
“Ia mencerminkan kemampuan generasi muda bergabung dalam satu irama dan harmoni yang tersusun, sekaligus memperlihatkan pencapaian luar biasa dalam dunia muzik orkestra pelajar,” kata FELDA dalam satu kenyataan hari ini.




Agensi itu berkata, secara keseluruhan, seramai 1,200 pemuzik dari 19 pasukan orkestra sekolah rendah dan menengah telah menyertai MIFBOF 2025 tersebut.
Katanya, penganjuran festival itu dengan kerjasama Malaysia Association of Marching Arts (MAMA) bukan sahaja memperkukuh bakat muzik dalam kalangan pelajar, malah membuka ruang kepada kerjasama serantau.
Ini berikuatn penglibatan penyertaan antarabangsa dari Thailand dan Filipina, sekali gus menjadikan muzik sebagai medium penyatuan budaya dan aspirasi belia.
Penganjuran festival itu turut mendapat sokongan rakan strategik antaranya U Mobile, FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd, MITEC, Yayasan FELDA, FELKOP, KPF, KGFB, Koguna, dan Hotel Tenera.
“Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa impian besar mampu dicapai dengan disiplin, kerjasama dan semangat yang padu,” katanya. – Edisi 9

