Tuesday, July 21, 2026

Keadilan iklim, kesihatan global tanggungjawab bersama – Anwar

Akses saksama kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan serta kawal selia rantaian bekalan ubat global adalah isu keselamatan antarabangsa ukan sekadar agenda kesihatan. 

Mesti Baca

SIDANG Kemuncak BRICS 2025 melabuhkan tirainya dengan mesej tegas daripada Malaysia bahawa cabaran kesihatan global, keadilan iklim dan pembiayaan mampan bukan isu yang terasing.

Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia saling berkait rapat dan menuntut pendekatan bersepadu serta bertanggungjawab secara kolektif.

Anwar dalam sesi intervensi akhir sidang itu menegaskan, Malaysia menyambut baik inisiatif BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases.

Beliau berkata, ia merupakan pengiktirafan penting bahawa usaha menangani penyakit perlu bermula daripada menangani ketidaksaksamaan sosial dan kemiskinan struktural di peringkat akar umbi.

“Saya turut menegaskan bahawa akses saksama kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan serta kawal selia rantaian bekalan ubat global adalah isu keselamatan antarabangsa, bukan sekadar agenda kesihatan. 

“Kegagalan dalam perkara ini boleh mencetuskan ketidaktentuan serantau dan mengancam pembangunan mampan sejagat,” katanya.

Dalam isu perubahan iklim, Malaysia sekali lagi mengulangi komitmennya terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP) dan sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050. 

Namun begitu, Anwar turut memberi peringatan bahawa komitmen tanpa sumber hanya akan tinggal sebagai dasar atas kertas.

“Pembiayaan iklim masih terlalu jauh daripada mencukupi, khususnya bagi negara membangun yang sedang bergelut dengan risiko iklim berganda,” katanya.

Malaysia menurut beliau menyokong penuh Kerangka Pembiayaan Iklim BRICS, namun menuntut supaya deklarasi diterjemah kepada tindakan konkrit.

Katanya, ini termasuk penubuhan instrumen pembiayaan lebih efektif, akses kepada dana konsesi yang adil dan penyelarasan kukuh antara institusi kewangan serantau dan global.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia juga memacu kesepaduan serantau dalam tindakan iklim, selain memperluas akses kepada pembiayaan hijau dan usaha menyeragamkan piawaian dalam kalangan negara Asia Tenggara.

“Saya akhiri sesi intervensi dengan menyeru agar COP30 di Belém, Brazil menjadi detik peralihan sebenar daripada retorik kepada pelaksanaan. 

“Keadilan iklim bukan hanya tentang niat, tetapi tentang bagaimana kita mengagih modal, mengurus risiko dan memikul tanggungjawab secara kolektif. Masa untuk berhujah telah berakhir,” kata beliau.

Tambahnya, “Masa untuk berhujah telah berlalu. Kini adalah masa untuk bertindak bersama dan dalam skala yang mampu menyelamatkan masa depan bersama.”

Di sela-sela sidang, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Presiden Chile, Premier China, Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, serta Menteri Luar dari Rusia, UAE dan Iran.

Ia sebagai langkah yang memperkukuh lagi hubungan strategik Malaysia dengan kuasa-kuasa besar dan rakan dagang utama di pentas global. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan