PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus “menjual” nama negara di persada antarabangsa untuk menarik pelabur biarkan usaha tersebut diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu terutama kalangan pembangkang.
Beliau menegaskan, nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
“Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini. Perjalanan kita masih panjang dan kita akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus,” katanya selepas mengakhiri lawatan ke tiga negara hari ini.
Sebelum ini beliau mengadakan kunjungan ke Itali dan Perancis sebelum terbang ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.
Berhubung lawatannya di Brazil, Anwar berkata, kunjungan beliau berjaya mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil, malah dengan negara-negara anggota BRICS yang lain dalam memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.
“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera,” katanya.
Sepanjang berada di Brazil, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selain para pemimpin negara anggota BRICS serta rakan sejawatan dari Mesir, India dan Vietnam.
Pada masa yang sama Anwar turut menggunakan kesempatan untuk bertemu dengan para pemain industri di Brazil dan sebelum ini di Itali dan Perancis. — Edisi 9

