ISU beban tugas guru yang berlarutan sejak bertahun-tahun lalu sekali lagi mencetuskan kegusaran warga pendidik apabila sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian tuntas.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menyifatkan kegagalan menyelesaikan isu tersebut sebagai petunjuk bahawa Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) tidak berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka sepenuhnya.
Menurut beliau, MPPK telah diberi mandat secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Januari 2023 untuk menyediakan laporan lengkap berhubung beban tugas guru dan seterusnya memastikan isu tersebut diselesaikan sepenuhnya.
“Hasilnya, senarai tujuh langkah mengurangkan beban tugas guru telah diumumkan sekitar Mac 2023. Guru-guru paling gembira. Semua mereka memuji langkah yang telah diambil oleh KPM.
“Bila sudah ada senarai, tentulah menjadi tanggungjawab MPPK untuk memastikan isu beban tugas guru diselesaikan secara total pada 2023. Bukankah mereka adalah pihak yang diberikan amanah supaya beban tugas para guru dapat diselesaikan?

“Malangnya, sehingga hari ini (selepas lebih dua tahun) isu beban tugas guru tidak juga selesai malah semakin meruncing. Suara-suara tidak puas hati para guru semakin ketara kedengaran di media sosial,” katanya hari ini.
Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) mengulas gesaan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang agar KPM menubuhkan jawatankuasa khas menyelesaikan isu beban tugas guru.
Tambah Anuar, sebagai badan penasihat utama di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), MPPK sepatutnya bukan sahaja mengemukakan cadangan, tetapi turut memantau, meneliti dan memastikan pelaksanaan dasar dapat direalisasikan sehingga selesai.
Anuar turut membidas gesaan NUTP tersebut memandangkan Aminuddin sendiri adalah ahli tetap MPPK.
“Sebagai ahli tetap yang telah dilantik oleh kerajaan untuk anggotai MPPK, mengapa pula Presiden NUTP mencadangkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk selesaikan isu beban tugas guru? Bukankah itu tanggungjawab MPPK? Mengapakah diserahkan pada pihak lain pula?
“Kalau badan seperti MPPK yang sudah ada bidang kuasa di bawah Akta Pendidikan pun ‘gagal’ menyelesaikan isu beban tugas guru, apa sangatlah yang boleh diharapkan pada satu jawatankuasa sementara yg sifatnya adhoc untuk selesaikan isu beban tugas guru?,” katanya.
Tegas beliau, tindakan menubuhkan satu lagi jawatankuasa adhoc hanya akan menambahkan lapisan birokrasi tanpa menyelesaikan masalah akar umbi.
“Apa yang saya nampak, kisah beban tugas guru ini sekadar cerita ‘bola’ sahaja. MPPK tak berjaya selesai, datang cadangan dari NUTP supaya serah pada orang lain.
“Akhirnya yang merana guru-guru di bawah. Mereka jadi ‘bola’. Di tendang ke sana-sini,” katanya.
Justeru, Anuar menggesa agar kerajaan dan KPM mengambil langkah lebih tegas terhadap keberkesanan MPPK serta menyemak semula mekanisme pemantauan terhadap pelaksanaan dasar pengurangan beban tugas guru, agar tidak terus menjadi retorik semata-mata. — Edisi 9

