MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul Golden Diploma Award dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 yang berlangsung di Prague, Republik Czech hari ini.
Kejayaan manis itu menyaksikan MAWO mengetepikan cabaran tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara, sekali gus menjadikan mereka satu-satunya peserta dari Asia yang berjaya menakluk pentas berprestij tersebut.
“Anugerah emas itu merupakan pengiktirafan tertinggi dalam kategori berkenaan, diikuti anugerah perak dan gangsa,” kata kenyataan Felda menerusi media sosialnya sebentar tadi.
Menurut Felda, penilaian anugerah berdasarkan markah tertinggi daripada panel juri profesional yang menilai aspek kecekapan teknikal, persembahan muzik, serta kreativiti persembahan setiap kumpulan.
Tahun ini, pertandingan membabitkan tiga kategori utama iaitu lower class, middle class dan higher class, yang ditentukan berdasarkan tahap kesukaran karya muzik, pengalaman kumpulan, serta kemampuan teknikal.
Sebanyak 13 kumpulan orkestra dari 11 negara mengambil bahagian dalam edisi 2025, dengan Malaysia menjadi satu-satunya wakil dari benua Asia, manakala selebihnya adalah peserta dari negara-negara Eropah.
“Kejayaan MAWO ini sekali gus membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu bersaing dan cemerlang di peringkat antarabangsa dalam bidang seni muzik orkestra,” kata Felda.
Sebelum persembahan, kehadiran Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris telah menyuntik semangat luar biasa buat anak-anak MAWO.
“Tiada apa yang lebih penting daripada membuat persembahan terbaik. Kalian sudah juara di hati warga FELDA dan rakyat Malaysia. Lakukan seperti yang telah diajar, dan teruskan harumkan nama negara,” katanya. — Edisi 9

