Wednesday, July 22, 2026

UM, MYSO bawa inovasi murid sekolah ke pentas antarabangsa

Mesti Baca

SEBANYAK 284 projek inovatif hasil cetusan idea pelajar sekolah rendah hingga universiti dari sembilan negara telah dipertandingkan dalam World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025, sebuah acara berprestij antarabangsa yang berlangsung dari 23 hingga 27 Februari lalu di Medan, Indonesia.

Acara tersebut yang memasuki edisi keempat penganjurannya, merupakan hasil kerjasama Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) serta Universitas Negeri Medan (UNIMED).

Bertemakan Pioneering Solutions, Shaping the Future, WYSII 2025 berjaya menghimpunkan 641 peserta dari sembilan buah negara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Itali, Kazakhstan, Bosnia dan Herzegovina, Romania, Filipina dan Nepal.

Menariknya, pertandingan ini melibatkan peserta seawal usia tujuh tahun dan turut disertai oleh guru, pensyarah, pegawai pendidikan serta ibu bapa dalam suasana inklusif yang menyatukan komuniti pendidikan global merentas sempadan.

Para peserta turut berpeluang melawat tempat-tempat menarik di sekitar Medan, Indonesia.

Presiden MYSO, Razmi Abdul Razak berkata, penganjuran WYSII bukan sekadar pertandingan tetapi merupakan satu gerakan global yang mencorakkan masa depan melalui kreativiti dan inovasi.

“Kami mahu melahirkan generasi muda yang berani mencabar norma dan meneroka penyelesaian baharu terhadap cabaran global. Penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikan acara ini lebih bermakna dan menyeluruh,” katanya baru-baru ini.

Sebanyak 34 projek sekolah rendah, 111 projek sekolah menengah, 16 projek institusi pengajian tinggi, 69 projek guru dan pentadbir serta 54 projek dalam talian telah dipersembahkan dalam pelbagai kategori.

Antara pemenang utama yang mencuri tumpuan adalah:

• SK Rapat Setia, Perak – Pembentangan & Sekolah Rendah Terbaik

• MRSM Mersing, Johor – Sekolah Menengah Terbaik

• SBPI Gopeng, Perak – Guru Terbaik

• Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak – Kategori IPT Terbaik

Anugerah WYSI International Leadership & Teachers Award 2025 telah dianugerahkan kepada Dr. Mior Hamdan Hj. Ghazali (Kategori Profesional/Pengurusan) dan Amiruddin Razali dari SMK Puteri Ampang (Kategori Guru).

Malaysia turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan WYSII 2025, diikuti Thailand dan Indonesia.

Majlis penutup disempurnakan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malik, yang turut menerima kunjungan rasmi seramai 614 peserta, menjadikan ia delegasi terbesar pernah diterima pejabat tersebut.

Acara ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pertandingan STEM antarabangsa dengan penyertaan belia terbesar bagi tahun 2025, sekaligus mencipta sejarah baharu dalam landskap pendidikan dan inovasi negara. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan