BEKAS ‘awang import’ Perak FC, Raianderson da Costa Morais menjadi import terbaharu yang menjadi taruhan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi Liga Malaysia tahun ini.
Lebih dikenali dengan panggilan Careca, pemain berasal dari Brazil itu pernah beraksi bersama Perak FC pada musim 2019 hingga 2021 sebelum berkelana ke Liga Korea.
Careca, yang berusia 29 tahun dengan ketinggian 1.84 meter, beraksi di posisi tengah menyerang dan menandatangani kontrak semusim bersama TFC.
“Dia terkenal dengan kemampuan mencipta peluang, kelincahan mengawal bola, serta ketajaman penyudah yang mampu menghadirkan ancaman kepada benteng lawan,” kata kenyataan TFC hari ini.
Sepanjang kariernya, Careca sudah mengumpul pengalaman berharga bukan hanya di liga Brazil tetapi juga di Asia termasuk Malaysia dan Korea Selatan.
Sebelum menjadi ejen bebas baru-baru ini, Careca sempat beraksi bersama Gangneung City di Korea Selatan, menjadikan beliau seorang pemain yang cukup matang dari segi pengalaman dan adaptasi permainan antarabangsa.
“Kepulangan semula Careca ke Liga Malaysia, khususnya bersama TFC dilihat sebagai satu langkah strategik oleh pengurusan kelab dalam usaha memperkukuh jentera serangan pasukan.
“Terengganu memerlukan sosok pemain yang bukan hanya mampu menjaringkan gol, tetapi juga bijak mengatur serangan, terutama dalam misi mereka untuk bersaing di kelompok teratas liga dan mara jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Dengan kemahiran teknikal dan visi permainan yang dimilikinya, Careca dijangka menjadi tonggak penting dalam merencana serangan dan membuka ruang buat penyerang lain. — Edisi 9

