Tuesday, June 16, 2026

KJSB raih keuntungan RM21.4 peratus, melonjak 400 peratus

Lebih membanggakan ialah pencapaian lima bulan pertama tahun 2025 yang telah pun mengatasi jumlah keuntungan bagi tempoh sama tahun lalu.

Mesti Baca

KETENGAH Jaya Sdn. Bhd. (KJSB), syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM21.4 juta bagi tahun kewangan 2024, meningkat lebih 400 peratus berbanding RM5.12 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, prestasi cemerlang itu membuktikan kecekapan tadbir urus serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh warga kerja KJSB.

“Ini bukan sekadar angka di atas kertas. Ini cerminan kepada usaha kolektif, strategi perniagaan yang tepat, serta kesungguhan dalam meningkatkan hasil sambil memastikan manfaatnya dapat dikongsi bersama warga luar bandar,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Sebelum itu Rozi mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah KJSB di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, lebih membanggakan ialah pencapaian lima bulan pertama tahun 2025 yang telah pun mengatasi jumlah keuntungan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jika momentum ini dikekalkan, Insya-Allah kita akan menyaksikan satu lagi tahun yang penuh kejayaan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, sebahagian besar keuntungan disumbang oleh sektor perladangan dan pelaburan hartanah, selain penyusunan semula strategi operasi yang lebih mampan.

Sementara itu, KJSB akan terus memperkukuh peranannya sebagai entiti pemangkin pembangunan di wilayah tengah Terengganu dengan memfokus kepada pemberdayaan ekonomi luar bandar, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti setempat.

“Keuntungan bukan matlamat akhir. Ia adalah alat untuk kita bawa perubahan bermakna kepada masyarakat, khususnya di kawasan yang masih memerlukan sentuhan pembangunan,” katanya.

KJSB ditubuhkan pada tahun 1981 dan berperanan sebagai cabang komersial kepada KETENGAH, melibatkan diri dalam sektor perladangan, hartanah dan perkhidmatan sokongan luar bandar.  — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan