GENERALI Insurance Malaysia Berhad terus menzahirkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat apabila melancarkan Kempen Subsidi Motor Prihatin 2025 yang menyasarkan pemilik motosikal daripada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.
Inisiatif bersifat nasional itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kadar penembusan insurans, malah memberikan kelegaan kewangan kepada penunggang motosikal berpendapatan rendah, khususnya penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Melalui kempen berkenaan, Generali menawarkan subsidi sekali sebanyak RM50 yang ditolak terus daripada premium polisi insurans motosikal komprehensif, satu langkah signifikan ke arah menjadikan perlindungan insurans lebih mudah diakses oleh komuniti B40.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabrice Benard berkata, motosikal bukan sekadar kenderaan, sebaliknya satu keperluan asas harian buat berjuta-juta rakyat Malaysia.
“Kempen ini didorong oleh komitmen kami untuk mengecilkan jurang perlindungan dan menjadikan insurans komprehensif lebih inklusif.
“Ia adalah sokongan bermakna kepada golongan berpendapatan rendah dalam berdepan cabaran kos sara hidup yang kian meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kempen yang bermula 30 Jun lalu dan akan berakhir 31 Oktober 2025 itu terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang tersenarai sebagai penerima berdaftar SARA.
Menurut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih 16 juta motosikal berdaftar di Malaysia iaitu hampir separuh daripada keseluruhan jumlah kenderaan di negara ini. menjadikan motosikal antara pengangkutan utama yang amat penting dalam kehidupan rakyat.
Generali Malaysia, di bawah naungan Generali Group, antara pemain utama dalam industri insurans global dengan sejarah melebihi 190 tahun.
Syarikat itu mula bertapak di Malaysia sejak 2015 dan terus berkembang selepas pengambilalihan penuh MPI Generali serta penguasaan majoriti dalam AXA Affin General dan Life Insurance pada 2022. — Edisi 9

