MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, selepas mesyuarat MKT berlangsung di ibu pejabat parti malam ini.
Langkah ini dilihat membuka ruang kepada beberapa ahli UMNO yang sebelum ini digantung atau dipecat, termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membuat rayuan secara rasmi kepada MKT.
Untuk rekod, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong, digantung keahlian selama enam tahun pada awal 2023 susulan tindak-tanduknya yang dianggap bertentangan dengan keputusan parti, termasuk enggan menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut dikaitkan dengan usaha menjayakan kerjasama bersama pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu yang akhirnya menjejaskan kestabilan dalaman parti.
Dalam kenyataan sama, UMNO menegaskan pendirian bahawa tiada keperluan untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil ahli dari parti gabungan lain.
Langkah itu penting bagi mengelak sebarang prasangka dan ketidakharmonian dalam hubungan antara parti yang membentuk kerajaan ketika ini.
“UMNO merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan,” kata kenyataan itu.
Sikap terbuka beberapa parti terhadap ‘pemancingan’ ahli dari rakan sendiri sebelum ini mencetuskan keresahan dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu fokus diberikan kepada agenda nasional, bukan persaingan dalaman gabungan.
Sebelum ini, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz membuat keputusan melepaskan keahlian UMNO dan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu termasuk sebagai Ahli MKT dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Beliau kemudian secara terbuka menyatakan hasrat untuk memohon menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, MKT turut bersetuju untuk menunda tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 kepada 26 hingga 29 November 2025, bagi memberi laluan kepada persiapan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perubahan tarikh itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan UMNO bersedia sepenuhnya bagi menghadapi cabaran PRN Sabah yang dijangka menjadi medan penting bagi menguji kekuatan parti dalam landskap politik Borneo.
UMNO turut merakamkan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak atas tindakan pantas mereka dalam menguruskan bantuan kepada mangsa kemalangan bas di Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sumbangan dan pengurusan bantuan kemanusiaan oleh kedua-dua badan perhubungan tersebut disifatkan sebagai mencerminkan nilai murni perjuangan UMNO yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap keadaan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, MKT memutuskan untuk melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan Kerajaan Perpaduan, termasuk prestasi anggota pentadbiran dan agensi-agensi milik kerajaan yang diterajui oleh wakil UMNO.
Kajian ini dijangka menjadi rujukan penting dalam menentukan pendekatan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRI-16) sama ada untuk kekal dalam kerjasama semasa atau memperkukuh kekuatan sendiri bagi menghadapi saingan akan datang. — Edisi 9

