Tuesday, June 16, 2026

Pengaruh Hamidin masih mencengkam FAM? Sampai bila?

Mesti Baca

DALAM dunia bola sepak Malaysia, ada satu perkara yang tak pernah berubah! Nama yang sama, wajah yang sama, dan pengaruh yang sama. 

Hari ini, Tan Sri Hamidin Mohd Amin kembali. Bukan sebagai Presiden FAM, tetapi dalam versi “lebih eksklusif” iaitu sebagai Presiden Kehormat.

Tak payah bertanding. Tak perlu kempen. Tak perlu undi. Tak payah cari sokongan akar umbi. 

Cukup sekadar “sebulat suara” oleh Jawatankuasa Eksekutif, dan voila, gelaran tertinggi dalam FAM kembali kepada individu yang dulunya di puncak. Hebat, kan?

Secara rasmi, Presiden Kehormat ini tak ada kuasa mengundi. Tapi dia boleh hadir mesyuarat, bagi nasihat, jadi duta rasmi, dan – mari kita jujur – pengaruh “bekas bos” ini bukan calang-calang.

Apatah lagi bila kita tahu, ramai dalam sistem hari ini masih ‘bersekolah’ dan bernafas dalam acuan Hamidin. Bila beliau bercakap, tak mustahil ramai angguk… walaupun tak semua berani angkat tangan.

FAM kata pelantikan ini adalah penghormatan kepada sumbangan Hamidin selama 30 tahun.

Ya, memang tak dinafikan beliau banyak membantu naikkan struktur, termasuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa (walaupun kita tak ke Piala Dunia pun).

Tapi rakyat juga masih ingat isu ketelusan dalam pemilihan jurulatih, prestasi skuad negara yang turun naik macam indeks saham, penyokong yang makin lesu, stadium makin sunyi, liga tempatan yang masih cari nyawa.

Jadi soalnya, adakah kita sedang menghargai jasa… atau mengabadikan kuasa yang tak mahu dilepaskan?

Ya, Almarhum Sultan Ahmad Shah dahulu pun Presiden Kehormat. Tapi baginda bukan masuk mesyuarat setiap bulan. Tak keluar kenyataan saban minggu. Tak duduk depan bila Harimau Malaya kalah.

Dengan Hamidin, kita belum pasti.

Selamat datang kembali ke sistem. Tapi jangan hairan jika nanti, keputusan-keputusan besar masih berpusing di orbit yang sama.

Kerana dalam bola sepak Malaysia, kadang-kadang yang tak ada jawatan pun lebih berkuasa dari yang ada.

Sebagai penyokong, kita hanya minta satu perkara – keputusan demi bola sepak, bukan demi legasi peribadi. Kalau benar ikhlas mahu membantu, jangan jadi bayang-bayang besar yang menutup ruang orang baru untuk bergerak.

Dan kalau tak sanggup ditegur, mungkin belum layak digelar “kehormat”.

MTB – Main bola ‘cetong’

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan