ORIENTAL Melaka Straits Medical Centre (OMSMC) mencatat sejarah tersendiri apabila disenaraikan dalam Global Hospital Rating 2025 oleh Newsweek, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara hospital swasta terunggul di Malaysia.
Berpangkalan di negeri bersejarah ini, OMSMC merupakan salah satu daripada hanya tiga hospital di Malaysia yang berjaya menerima rating 4 bintang, hasil penilaian rapi oleh Newsweek dan firma data global terkemuka, Statista.
Penarafan antarabangsa tersebut mengambil kira prestasi hospital berdasarkan lima kriteria utama iaitu penyampaian rawatan, kepantasan perkhidmatan, keselamatan dan pengalaman pesakit, penggunaan teknologi perubatan serta daya tarikan sebagai majikan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OMSMC, Lee Soon Teck, pengiktirafan itu menjadi bukti komitmen berterusan hospital dalam memberikan rawatan bertaraf dunia serta perkhidmatan yang menepati keperluan sebenar pesakit.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia menjadi pemangkin untuk terus menambah baik sistem rawatan kami khususnya dalam aspek kepantasan perkhidmatan, keselamatan pesakit dan teknologi kesihatan terkini,” katanya.

OMSMC turut dikenali dengan pendekatan holistik dan mesra pesakit yang menjadi teras kepada sistem penjagaan kesihatan moden. Hospital ini menyasarkan untuk muncul sebagai rakan kesihatan paling dipercayai di rantau ini, dengan penekanan terhadap rawatan berteraskan nilai dan inovasi berterusan.
Bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan, OMSMC akan menganjurkan program kesedaran kesihatan komuniti bertemakan Oh, My Health pada 13 Julai ini (Ahad) dari jam 9 pagi hingga 4 petang di lobi hospital.
Program ini dianjurkan bersama Junior Chamber International (JCI) Malacca City Entrepreneur.
Antara pengisian yang dirancang termasuk saringan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, kempen derma darah, pameran, permainan santai serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak selaras dengan misi hospital untuk menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. — Edisi 9

