Sunday, June 21, 2026

Hospital Picaso tawar pembedahan termaju, kecemerlangan onkologi

Pelancaran pusat perubatan mula beroperasi sejak Jun tahun lalu itu juga sekali gus sebagai pengiktirafan hospital berkenaan sebagai institusi rujukan baharu dalam bidang perubatan moden.

Mesti Baca

HOSPITAL Picaso yang dilancarkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memberi tumpuan kepada pembedahan termaju serta rawatan onkologi bersepadu di negara ini.

Pelancaran pusat perubatan mula beroperasi sejak Jun tahun lalu itu juga sekali gus sebagai pengiktirafan hospital berkenaan sebagai institusi rujukan baharu dalam bidang perubatan moden.

Pengarah Perubatannya, Datuk Dr. Luqman Mazlan berkata, Hospital Picaso beraspirasi menjadi Pusat Kecemerlangan Pembedahan Termaju dan Pusat Kecemerlangan Onkologi Bersepadu bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan rawatan khusus.

“Setiap pusat rawatan diterajui pakar perunding kanan yang merupakan tokoh rujukan dalam bidang masing-masing. 

“Kerjasama merentasi disiplin ini memastikan pelan rawatan yang tersusun dan bersifat peribadi,” katanya ketika mengiringi Tuanku Muhriz dalam sesi lawatan diraja hari ini.

Beliau berkata, hospital berkenaan menempatkan pelbagai pusat rawatan termasuk Pusat Urologi, Pusat Kesihatan Wanita, Pusat Payudara, Pusat Gastrointestinal dan Hati serta Pusat Kanser.

Sementara itu, Pengerusi Amalan Klinikal merangkap Ahli Lembaga Pengarah Hospital Picaso, Datuk Dr. Loh Chit Sin turut memperkenalkan beberapa teknologi pembedahan termoden yang digunakan hospital tersebut.

Antara KOELIS untuk prosedur prostat berketepatan tinggi, sistem pembedahan robotik Da Vinci Xi, serta NanoKnife System untuk rawatan ablasi bukan haba.

Menurut beliau, kecanggihan itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan komprehensif dalam negara tanpa perlu ke luar negara.

Majlis pelancaran turut menyaksikan upacara simbolik pemotongan reben menggunakan sistem robotik Da Vinci Xi, menggambarkan gabungan teknologi termaju dengan kepakaran manusia sebagai teras falsafah hospital.

“Kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjagaan klinikal, tetapi juga usaha membina kapasiti, latihan dan perkongsian ilmu untuk melahirkan generasi pakar baharu. 

“Ini penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembedahan invasif minimum dan robotik,” kata Dr Loh.

Sejak mula beroperasi pada 19 Jun 2024, Hospital Picaso mencatat beberapa pencapaian peringkat nasional antaranya jumlah pembedahan robotik tertinggi dalam tahun pertama operasi.

Selain itu hospital itu juga berjaya menjalani prosedur NanoKnife pertama negara bagi kanser prostat, serta pembedahan robotik tanpa parut VNOTES pertama bagi kanser lapisan rahim. — Edisi 9

Related posts:

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan