31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 15, 2024

Hospital swasta sesak akibat kekurangan jururawat

Mesti Baca

HOSPITAL swasta di negara ini sesak bukan kerana peningkatan penyakit Influenza, sebaliknya perkara itu berlaku kerana kekurangan jururawat.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh menafikan dakwaan seperti yang dilaporkan oleh media.

Beliau berkata, tidak dinafikan beberapa hospital swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit yang dijangkiti Influenza A, namun kadar itu tidak di tahap membimbangkan sehingga menjejaskan kemasukan pesakit lain.

“Secara umumnya, hospital swasta menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit yang mendapatkan rawatan untuk pelbagai penyakit kronik mahupun bukan kronik serta kecemasan.

“Selepas pandemik, permintaan untuk penjagaan kesihatan dilihat meningkat, kami tidak melihat ia disebabkan Covid-19 tetapi mungkin kerana tempoh perintah kawalan pergerakan yang panjang sehingga menjadi punca kurangnya penjagaan atau pemantauan terhadap kesihatan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di hospital swasta ketika ini mengalami masalah kekurangan kakitangan, terutamanya dalam bidang kejururawatan sehingga menghalang mereka daripada meningkatkan kapasiti katil di pusat kesihatan.

“Permintaan kepada kerajaan sudah dibuat beberapa kali untuk mengambil jururawat swasta asing bagi memenuhi keperluan semasa masih belum membuahkan hasil,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan APHM mengeluarkan amaran bahawa katil di hospital kini mula dipenuhi sehingga menjejaskan tempoh pemberian rawatan kepada pesakit.

Advertisements

Laporan itu berkata, untuk Julai sahaja ia menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit dan penggunaan katil yang membimbangkan dengan sebahagian besar krisis itu disebabkan wabak Influenza sedang melanda negara.

Portal berkenaan turut mendedahkan, terdapat beberapa individu yang sukar untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta walaupun mempunyai perlindungan insurans selain terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan bilik bagi anaknya yang dijangkiti Influenza.

Dr Kuljit berkata, sekiranya Covid-19 kembali menular dengan mutasi lebih tinggi, pihaknya masih boleh menguruskan keadaan itu dan mempunyai kapasiti yang mencukupi.

Namun begitu, beliau berharap orang ramai dapat mengambil langkah-langkah untuk mencegah penularan sebarang jangkitan saluran pernafasan termasuk Covid-19 dan Influenza A, dengan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak, kerap membersihkan tangan serta mengelakkan sentuhan daripada orang lain.

“Dalam populasi berisiko tinggi, Anti-Vial disyorkan untuk rawatan awal dan kami bersedia dengan ubat dan ruang yang mencukupi.

“Penyakit berjangkit menjadi kebimbangan hospital swasta kerana ia boleh meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan kehilangan pendapatan penduduk.

“Dalam hal ini, langkah pencegahan terhadap penularan penyakit berjangkit akan menjadi penting dan keadaan semasa di hospital swasta tidak membimbangkan,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tebang satu pokok, tanam semula 100 pokok – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menanam 100 pokok baharu bagi setiap...

Lagi Artikel Berkaitan