MALAYSIA terus melakar pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila tiga saintis muda negara terpilih menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau Ke-74 yang akan berlangsung di Lindau, Jerman pada penghujung bulan ini.
Program berprestij itu dijadualkan bermula dari 29 Jun hingga 4 Julai dan akan menumpukan bidang kimia, dengan penyertaan seramai 35 penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 negara seluruh dunia.
Tiga wakil negara yang terpilih ialah Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30, calon PhD dalam Sains Gunaan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas; Ts Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, Pensyarah Kanan di Universiti Sains Malaysia dan Dr Mak Kit Kay, 33, Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyifatkan penyertaan mereka sebagai bukti kukuh keupayaan bakat saintifik tempatan bersaing di peringkat global.
“Penyertaan tiga saintis muda ini adalah satu peluang transformatif yang dapat memperluas horizon penyelidikan mereka serta memberi inspirasi kepada lebih ramai belia menceburi bidang sains dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan ini selaras dengan usaha berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membangunkan bakat STEM yang mampan.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, penghantaran wakil ke mesyuarat berkenaan membuktikan komitmen ASM dalam melahirkan bakat saintifik bertaraf dunia.
“Bukan sekadar berpeluang menimba ilmu, saintis muda kita juga dapat mengetengahkan penyelidikan mereka serta menjalin hubungan kolaboratif bersama saintis dari fasiliti penyelidikan antarabangsa,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 1951, Mesyuarat Nobel Laureate Lindau menjadi platform pertemuan unik antara penerima Hadiah Nobel dan saintis muda dalam pelbagai sesi rasmi dan tidak rasmi seperti syarahan, perbincangan Agora dan panel peringkat global.
ASM yang menjadi pencalon rasmi Malaysia sejak 2004, telah mencalonkan saintis muda untuk dinilai oleh Panel Semakan Saintifik Lindau setiap tahun. Dengan penyertaan tahun ini, seramai 89 saintis muda Malaysia telah menyertai mesyuarat berprestij ini. – Edisi 9

