Friday, June 5, 2026

Harimau Malaya menang mutlak 4-0 ke atas Vietnam

Dua pemain warisan yang baru, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado menyumbang dua gol manakala dua lagi daripada warisan sedia ada

Mesti Baca

IMPAK revolusi skuad Harimau Malaya membuahkan hasil awal apabila membelasah Vietnam 4-0 dalam perlawanan kedua Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang mengetuai gerakan era baharu skuad kebangsaan yang membawa pulang tujuh pemain warisan yang berada di luar negara.

Turun dengan misi untuk meraih kemenangan, pengendali Peter Cklamovski membariskan sembilan pemain warisan termasuk empat pemain yang kali pertama menyarung jersi negara.

Mereka yang diturunkan sebagai kesebelasan utama ialah itu Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado selepas mereka mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tuan rumah hampir memperoleh gol pertama menerusi Dion Cools yang merembat dari luar kotak penalti pada minit ke-38 namun sepakatannya terkena tiang sebelah kiri penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip.

Pada penghujung separuh masa, Arif Aiman Hanafi bergerak solo dari tengah padang untuk menewaskan pertahanan Vietnam namun sepakan lambungnya berjaya ditepis Filip.

Separuh masa pertama berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, penyerang Harimau Malaya, Joao Vitor Figueiredo yang baru tampil pertama kali menyarung jersi Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan pertama pada minit ke-49.

Selang beberapa minit kemudian pemain penyerang Rodrigo Holgado yang mengalami kecederaan di kepala berjaya menghadiahkan jaringan kedua buat negara pada minit ke-58 selepas mendapat umpanan Arif Aiman.

Arif Aiman sekali lagi berpeluang membuat hantaran silang di hadapan gawang Vietnam sebelum disentuh oleh pemain pertahanan Corbin Ong untuk gol ketiga pada minit ke-66.

Pemain Vietnam, Nguyen Tien Linh hampir melakukan jaringan pertama dengan menanduk bola ke gawang pada minit ke-79 namun digagalkan oleh penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.

Cools menambah derita Vietnam yang turut dalam misi meraih sekurang-kurang satu mata apabila tandukannya berjaya menerjah jaring pada minit ke-88.

Kali terakhir skuad kebangsaan menewaskan Vietnam dalam kejohanan Piala AFF pada Disember 2014 yang mana Malaysia menang dengan jaringan 4-2.

Harimau Malaya kini menghuni puncak Kumpulan F dengan mengumpul enam mata setelah sebelum ini menumpaskan Nepal pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan