SEBANYAK 1.7 juta penyertaan disasarkan dalam penganjuran Malaysia Techlympics 2025, inisiatif berskala besar anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha memperkasa penguasaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan pelajar dan belia negara.
Program berimpak tinggi itu dianjurkan dengan kerjasama strategik Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd. (Bioeconomy Corporation), agensi di bawah MOSTI, yang turut memacu pelaksanaan pelbagai aktiviti pembudayaan STI ke seluruh pelosok negara termasuk komuniti pedalaman dan luar bandar.
Menurut MOSTI, pertandingan berasaskan STI ini terbuka kepada peserta berumur tujuh hingga 30 tahun, dan akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari peringkat sekolah.
Katanya, ini diikuti saringan zon di enam wilayah, sebelum melangkah ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada November ini.
“Penganjuran kali ini turut memperluas penyertaan ke peringkat antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada anak-anak muda Malaysia menunjukkan kebitaraan mereka di persada dunia,” kata kenyataan MOSTI hari ini.
Format pertandingan turut menampilkan elemen cabaran praktikal, pendedahan kepada teknologi sebenar serta pendekatan pembelajaran pengalaman langsung dalam usaha melahirkan generasi celik teknologi dan inovatif.
Malaysia Techlympics 2025 juga memberi fokus kepada Kecerdasan Buatan (AI) dengan memperkenalkan lebih banyak pertandingan dan aktiviti berkonsepkan AI bagi memupuk minat serta membina kepakaran generasi muda dalam bidang yang kritikal ini.
Menurut MOSTI, aspek keterangkuman dan akses pendidikan turut diberi penekanan melalui program jangkauan ke kawasan luar bandar serta latihan guru bagi memastikan penguasaan STI dapat diterapkan dalam sistem pendidikan secara menyeluruh.
Malaysia Techlympics 2025 selaras dengan aspirasi negara menerusi pelaksanaan Dasar STI Negara 2021–2030 serta menyokong gagasan Malaysia MADANI dalam membina kapasiti teknologi tempatan yang mampan dan bersedia menghadapi masa depan.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman rasmi techlympics.my atau mengikuti akaun media sosial rasmi @mytechlympics. – Edisi 9

