MALAYSIA dan United Kingdom (UK) bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan luar bandar, selaras dengan komitmen negara untuk melonjakkan taraf sosioekonomi rakyat dan menyediakan tenaga kerja mahir berskala global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan secara terperinci dalam pertemuannya dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK, Steve Reed di London, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, TVET dan pembangunan luar bandar merupakan dua tonggak penting yang saling melengkapi dalam mendorong pertumbuhan inklusif negara.
“Malaysia komited untuk menjadi Hab Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN, dengan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), industri aeroangkasa dan tenaga boleh baharu,” katanya hari ini.
Zahid berkata, kerjasama dengan UK akan memperkukuh kualiti latihan, pensijilan dan mobiliti tenaga kerja, selain memanfaatkan kepakaran negara itu dalam bidang inovasi teknologi serta pendidikan teknikal.

Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia juga ingin menimba pengalaman UK dalam menjadikan kawasan luar bandar sebagai zon pertumbuhan ekonomi mampan, selaras dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Pembangunan luar bandar bukan sekadar soal infrastruktur, tetapi harus menjurus kepada pembentukan ekosistem ekonomi yang inklusif dan berdaya saing.
“Kita ingin pastikan anak muda luar bandar bukan sahaja diberi peluang latihan TVET yang berkualiti, tetapi juga mampu menyumbang kepada industri bernilai tinggi,” ujar beliau.
Menurutnya, perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan bencana, bekalan air bersih, serta adaptasi teknologi dalam menghadapi perubahan iklim, iaitu cabaran yang kini turut memberi kesan langsung kepada komuniti desa.
Zahid turut mencadangkan agar instrumen kewangan Islam seperti sukuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan mampan di luar bandar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tradisional semata-mata.
Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik, Malaysia dan UK turut bersepakat untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam inisiatif luar bandar dan TVET, termasuk menerusi pelaburan langsung serta pertukaran kepakaran.
“Insya-Allah, kita akan terus membuka lebih banyak pintu kerjasama yang memberi manfaat langsung kepada rakyat luar bandar, menjangkau batas geografi dan membina masa depan yang lebih cerah,” kata beliau.
Pertemuan itu disifatkan sebagai antara langkah konkrit untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–UK dalam bidang yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung.
Zahid kini berada di UK sempena lawatan rasmi selama empat hari ke negara itu. – Edisi 9

