MALAYSIA melakar kejuaraan berganda pada kejohanan badminton Terbuka Thailand 2025 menerusi beregu lelaki dan wanita utama negara dalam perlawanan akhir di Bangkok hari ini.
Beregu wanita nombor empat dunia, Pearly-Thinaah mencipta gelaran pertama tahun ini selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo.
Kejayaan itu sekali gus mengubat kekecewaan mereka yang tewas juga kepada pasangan Korea Selatan, Kim Hye-jeong-Kong Hee-yong pada final Masters Indonesia Januari lalu.
Set pertama, pasangan negara diberikan tentangan sengit oleh pasangan yang baru digandingkan itu dengan membalas pukulan-pukulan smash Pearly-Thinaah.
Bagaimanapun, dengan pengalaman dan keserasian yang ditunjukkan Pearly-Thinaah berjaya membawa mata 21-16 pada set pertama.

Di set kedua, kedua-dua pasangan lebih berhati-hati dan banyak bermain rally sehingga mereka saling berkejar mata sebelum Pearly-Thinaah mendapatkan interval 11-8.
Setelah permainan bersambung, Pearly-Thinaah berjaya menjarakkan mata dan seterusnya meletakkan mata pada kedudukan 20-14.
Kem Malaysia agak cemas apabila Na Eun-Yeon Woo mengutip tiga mata berturut-turut sebelum Pearly menoktahkan kemenangan dengan 21-17 pada kejohanan Super 500 itu.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian 16 tahun Malaysia untuk meraih gelar juara beregu lelaki di Terbuka Thailand.
Kali terakhir beregu negara menjuarainya menerusi Chan Peng Soon-Lim Khim Wah pada 2009.
dicabar hebat oleh pasangan muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam perlawanan akhir beregu lelaki.
Pasangan negara berjaya menundukkan pasangan ranking ke-75 dunia itu dengan 20-22, 21-17, 21-12 dalam masa sejam.
Set pertama pasangan negara banyak melakukan kesilapan dengan menghantar bola ke jaring sementelah dicabar oleh permainan pantas Boe-Kjaer sehingga pasangan muda Denmark berjaya menamatkan permainan di rubber-set.
Bagaimanapun Aaron-Wooi Yik yang baru segar menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) bulan lalu, memperkemaskan permainan dan berjaya menamatkan perlawanan dengan 21-17.
Pada set penentuan, pasangan berpengalaman negara tidak menoleh ke belakang dan terus mengutip mata demi mata untuk menamatkab perlawanan dengan 21-12.
Kejayaan kedua-dua beregu negara ini diharap dapat menyuntik semangat mereka menjelang kejohanan Masters Malaysia yang akan berlangsung minggu depan. – Edisi 9

