Wednesday, July 22, 2026

GERAK17 simbol kesiapsiagaan, kebangkitan BN di Sabah – Zahid

GERAK17 bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan kesediaan jentera parti untuk mara ke hadapan dengan tekad yang lebih tersusun dan bersemangat.

Mesti Baca

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan GERAK17 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ke-17 tidak lama lagi.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden UMNO itu berkata, GERAK17 bakal menjadi simbol kesiapsiagaan BN menghadapi PRN Sabah serta menandakan permulaan kebangkitan semula parti itu di negeri ini.

Beliau berkata, GERAK17 bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan kesediaan jentera parti untuk mara ke hadapan dengan tekad yang lebih tersusun dan bersemangat.

Menurut beliau, setiap pengalaman lampau termasuk kekalahan yang dihadapi perlu dijadikan pengajaran untuk merangka strategi yang lebih kemas, padu dan bertenaga.

“Pengalaman telah mendewasakan kita. Kini tiba masanya untuk bangkit dengan yakin, dengan gagah, dan dengan tawakal yang tinggi kepada Allah SWT,” katanya di hadapan lebih 1,000 penyokong BN di Sepanggar, semalam.

Sebahagian jentera BN yang hadir semasa pelancaran GERAK17 malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar.

Jelas Zahid, GERAK17 adalah manifestasi iltizam BN untuk mendengar denyut nadi rakyat dan mengaktifkan semula setiap gerakan akar umbi di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi medan pilihan raya yang semakin hampir.

Tambah beliau, semangat kebersamaan dan kepimpinan yang berjiwa rakyat merupakan kunci utama dalam mengembalikan keyakinan rakyat Sabah kepada BN.

“Kita kenang setiap perjuangan yang pernah dilalui, kutip hikmah dari kekalahan, dan kini kita kembali dengan semangat baharu demi amanah dan masa depan rakyat Sabah,” ujarnya.

Pelancaran GERAK17 di Sepanggar menjadi sebahagian daripada siri gerakan strategik BN Sabah dalam memperkukuh kembali kedudukannya sebagai pilihan utama rakyat negeri ini menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Sebelum ini BN dan Pakatan Harapan (PH) menyatakan kesepakatan mereka untuk bekerjasama bagi mengharungi PRN Sabah kali ini namun tidak menutup peluang parti-parti lain untuk bersama. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan