Tuesday, June 16, 2026

Rozi seru ahli UMNO Terengganu bangun semula parti

Mereka perlu memperkemaskan saf perjuangan dan tinggalkan perbalahan sesama sendiri kerana UMNO adalah milik rakyat dan bukan segelintir kelompok.

Mesti Baca

SELURUH ahli UMNO di Terengganu diseru untuk membangunkan semula parti dengan semangat baharu kerana UMNO adalah milik rakyat dan bukannya segelintir kelompok.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, mereka perlu memperkemaskan saf perjuangan dan tinggalkan perbalahan sesama sendiri.

Beliau berkata, UMNO Terengganu pernah mencipta sejarah dengan melahirkan ramai tokoh pendidikan, pentadbiran dan pembangunan. 

“Namun masa depan menuntut kita mencipta semula kejayaan itu, bukan dengan nostalgia semata, tetapi dengan ilmu, strategi dan keikhlasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari UMNO Ke-79 yang jatuh pada 11 Mei ini.

Rozi berterima kasih kepada semua ahli UMNO yang tetap teguh, tetap setia, walau diuji dengan pelbagai cabaran.

Katanya, UMNO Terengganu kini membawa semangat “Kita Melangkah Untuk Berubah” dengan cerminan kesedaran bahawa perjuangan ini tidak boleh kekal di takuk lama. 

“Kita mesti bergerak, berubah, dan memperbaharui diri agar terus relevan di hati rakyat.

“Berubah bukan bererti kita melupakan asal-usul. Kita tidak akan meninggalkan asas perjuangan agama, bangsa dan tanah air tetapi kita mesti tampil dengan pendekatan yang lebih segar, lebih bijaksana, lebih memahami realiti rakyat hari ini,” katanya.

Kepada rakyat Terengganu pula, Rozi berkata, beliau menghulurkan tangan khususnya kepada anak-anak muda dengan jaminan bahawa UMNO hari ini sudah berubah.

“Kami mahu mendengar suara anda. Kami mahu bersama anda. Kami mahu mencorak masa depan dengan anda.

“UMNO bukan parti yang sempurna. Tetapi UMNO sedang belajar dari sejarah, membetulkan langkah dan bersedia bangkit dengan cara yang lebih matang. 

“Kami tidak berjanji bulan bintang akan tetapi kami berjanji untuk kembali merendah hati dan berkhidmat,” katanya.

Justeru, sempena 79 tahun penubuhan UMNO, beliau mengajak semua ahli dan penyokong, muda dan lama, melangkah bersama. 

“Langkah kita kali ini adalah langkah perubahan. Dan insya-Allah, perubahan ini akan membawa sinar baharu untuk Terengganu dan Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan