PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memperkukuhkan budaya integriti dan ketelusan melalui pelaksanaan sistem pengurusan antirasuah berasaskan standard antarabangsa ISO 37001:2025.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, usaha tersebut sejajar dengan komitmen kerajaan dalam menjayakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2024–2028) serta memastikan setiap urus tadbir dilaksanakan secara berakauntabiliti dan beretika.
“Langkah ini bukan hanya simbolik, malah mencerminkan komitmen tegas kami dalam membina sebuah organisasi yang bebas rasuah dan berdaya tahan dari segi integriti.
“Dengan memupuk budaya integriti dan amalan tadbir urus terbaik ia memperkukuh sistem pengurusan dalaman PKNPk dengan kawalan yang efektif bagi mencegah rasuah.
“Kami percaya pensijilan ini akan memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan terhadap peranan PKNPk sebagai pemacu pembangunan negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian konsultasi dan perkhidmatan pensijilan ISO 37001:2025 (Anti-Bribery Management System – ABMS) bersama SIRIM Academy Sdn Bhd dan SIRIM QAS International Sdn Bhd di Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada majlis itu Redza Rafiq menandatangani bagi pihak PKNPk, SIRIM Academy oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Sazali Nik Hussin manakala SIRIM QAS International oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ts Md Adha Rahmat.
Hadir sama Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir Khairol Anuar Mohamad Tawi.
Redza Rafiq berkata, pemakaian ABMS ISO 37001:2025 merupakan fasa lanjutan yang lebih strategik dan menyeluruh yang mana ia memberi tumpuan kepada pembangunan struktur, proses, dan budaya kerja yang mampu mencegah risiko rasuah dari peringkat akar umbi hingga ke pengurusan tertinggi.
“Melalui bimbingan SIRIM Academy, PKNPk akan menjalani proses penilaian risiko, pelaksanaan dasar serta latihan khusus kepada warga kerja.
“Manakala SIRIM QAS International akan melaksanakan audit sistematik untuk menilai keberkesanan sistem dan memberikan pengiktirafan rasmi berasaskan piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, pemakaian ABMS secara tersusun di PKNPk diyakini mampu menjadi penanda aras kepada agensi pembangunan negeri lain,dalam menjadikan budaya integriti sebagai keutamaan pengurusan.
Sementara itu, Khairol Anuar menyifatkan kerjasama itu sebagai bukti peranan SIRIM dalam menyokong pemerkasaan tadbir urus di sektor awam.
“SIRIM bukan hanya rakan teknologi dan inovasi industri, tetapi juga rakan strategik dalam memacu agenda nasional.
“Melalui pensijilan ini, kami berharap dapat membantu PKNPk melonjakkan tahap kecekapan urus tadbir serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Negeri Perak sebagai destinasi pelaburan yang progresif dan berintegriti,” katanya. – Edisi 9

