Saturday, July 18, 2026

Khutbah Jumaat: Itqan dalam pekerjaan kunci keberkatan rezeki

Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai ibadah jika dilakukan dengan niat semata-mata mengharapkan keredaan Ilahi, serta kerja dilakukan secara bersungguh-sungguh dan memenuhi amanah.

Mesti Baca

Jemaah yang dirahmati Ilahi,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan semua larangan Nya; mensyukuri setiap nikmat kurniaan Ilahi serta menginsafi bahawa kematian pasti berlaku.

Mudah-mudahan dipermudahkan perhitungan kita di hadapan Rabbuljalil serta dihimpunkan kita dalam kalangan hamba Nya yang beriman.

Bersempena sambutan Hari Pekerja, mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk: ITQAN DALAM PEKERJAAN – KUNCI KEBERKATAN REZEKI”

ITQAN bermaksud, sikap berhati-hati, teliti, rapi, rajin dan cemerlang ketika mengambil tindakan menyempurnakan tanggungjawab ataupun tugas. Firman Allah SWT, ayat 27 surah al-Anfal:

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul Nya serta janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu walhal kamu mengetahui (salahnya)”

Bekerja adalah ibadah; ikhtiar mencari rezeki untuk mencapai kesejahteraan hidup.

Bekerja membolehkan manusia memperoleh pendapatan yang dapat memenuhi keperluan menyara perbelanjaan diri dan keluarga, untuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, perjalanan dan kenderaan, pendidikan, perubatan dan sebagainya.

Mukmin yang bekerja dengan itqan, di samping memenuhi adabadab pekerjaan adalah Mukmin terpuji, yang insya-Allah dikurniakan keberkatan harta dan ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat.

Islam menuntut umatnya untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang halal. Islam menegah umatnya bersifat malas, tidak mahu bekerja atau sentiasa meminta-minta.

Kelebihan yang besar disediakan buat Mukmin yang rajin bekerja semata-mata ingin menyempurnakan amanah selaras dengan sabda Rasulullah
SAW:

Bermaksud; “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta dapat
membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan purnama”.
(Hadis Riwayat al-Tabarani)

Memiliki pekerjaan merupakan anugerah Ilahi yang wajib disyukuri, juga amanah dari Allah SWT yang bakal dipertanggungjawabkan.

Ayat 27 surah alAnfal yang khatib bacakan pada awal khutbah; memperingatkan ummah terutama warga kerja agar tidak mengkhianati amanah pekerjaan, dengan maksud wajib melaksanakannya sebaik mungkin; insaf dan sedar bahawa bekerja ialah tanggungjawab untuk menyejahterakan kehidupan manusia.

Bukan untuk memenuhi kehendak nafsu, apatah lagi untuk kepentingan peribadi yang berlawanan dengan syariat.

Islam amat menitikberatkan nilai-nilai murni ketika bekerja. Prinsip itqan yang berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik, di samping mengamalkan nilai integriti, jujur dan amanah, wajib dijadikan amalan seiring dengan sabda Baginda SAW:

Bermaksud: Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang kamu yang apabila melakukan pekerjaan dia melakukan dengan bersungguh-sungguh. (Hadis Riwayat Al-Tabarani)

Prinsip itqan akan melahirkan pekerja yang produktif – menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang. Oleh itu, mimbar menyenaraikan beberapa nilai murni sifat pekerja yang itqan:

Pertama: Menghormati masa bekerja yang ditetapkan, datang dan pulang pada waktu yang ditetapkan, tidak menggunakan waktu bekerja untuk melayari kandungan media sosial yang tiada kaitan dengan urusan kerja, atau berada di kantin berbual kosong, atau berehat lebih daripada masa yang diizinkan.

Kedua: Beriltizam meningkatkan mutu perkhidmatan, kemahiran dan kepakaran dalam bidang kerja yang diamanahkan.

Ketiga: Tekun dan disiplin menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan, tidak menangguhkan kerja, malah sentiasa berusaha mahu menghasilkan kerja yang berkualiti.

Keempat: Berniat kerja sebagai ibadah, disempurnakan kerja dengan hati yang tenang dan riang; berjaya membina kesefahaman dan semangat berpasukan dengan rakan sekerja, serta reda dengan rezeki yang halal.

Kelima: Memiliki minda terbuka – sikap profesional, bersedia menerima cabaran, cepat belajar perkara baharu, mampu berkongsi idea dan pembaharuan dengan rakan sekerja.

Keenam: Mengamalkan budaya berjimat cermat, memastikan tidak berlaku pembaziran sumber dan khazanah milik pejabat atau majikan.

Ketujuh: Bersifat jujur, ikhlas dan amanah; tidak menyalah guna kuasa, tidak melakukan penyelewengan dan tidak melakukan rasuah.

Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai ibadah jika dilakukan dengan niat semata-mata mengharapkan keredaan Ilahi, serta kerja dilakukan secara bersungguh-sungguh dan memenuhi amanah.

Negara bakal menikmati pencapaian gemilang dalam pelbagai bidang jika warga kerja di pelbagai peringkat sentiasa membudaya dan mengamalkan sifat itqan.

Jemaah Rahimakumullah

Bekerja secara itqan, serta ikhlas dan jujur menyempurnakan amanah menandakan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhannya dan akan menyebabkan rezeki menjadi berkat.

Islam sangat menitikberatkan soal memperoleh harta dari sumber yang baik selaras sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: Tidak berganjak kaki seorang hamba di hari akhirat sehinggalah dia ditanya tentang umurnya bagaimana dihabiskan? tentang ilmunya bagaimana dia manfaatkan? tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan ke mana dia belanjakan? tentang tubuhnya bagaimana digunakan? (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Penting dipastikan harta diperoleh mendapat berkat kerana harta tersebut kita gunakan untuk menyara diri dan ahli keluarga, memberi makan minum,
menyediakan tempat tinggal, membeli pakaian dan keperluan harian yang keseluruhannya bersangkutan dengan hal ibadah.

Walaupun keberkatan harta perkara batiniah yang sukar diukur secara lahiriah, namun keberkatan boleh dirasai melalui pelbagai kebaikan dan rasa tenang dalam kehidupan.

Harta yang berkat menjadikan seseorang itu merasa cukup sekali pun harta yang diperoleh sedikit.

Harta yang berkat menjadi asbab doa diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT; berbanding harta yang banyak tetapi tidak berkat, bukan sahaja seseorang itu merasakan tidak cukup.

Malah dibelenggu rasa keluh kesah, terus bersifat tamak, dengki dan hasad, malah merasa berat untuk menunaikan kewajipan seperti menunaikan nafkah, membayar zakat, berwakaf dan bersedekah.

Bersempena sambutan Hari Pekerja pada 1 hari bulan Mei, mimbar menyeru seluruh warga kerja agar terus menabur bakti, berkhidmat untuk negara.

Didoakan warga kerja dikurniakan kekuatan dan kesihatan, memenuhi amanah dengan niat beribadah semata-mata kerana Allah SWT, melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan kesungguhan, dikurniakan kebijaksanaan dan perlindungan keselamatan serta diganjari rezeki yang berkat.


Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 2 Mei 2025

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan