Monday, June 15, 2026

Kedudukan Malaysia makin kukuh di persada digital dunia – MCMC

Apabila sebanyak 12 projek dari Malaysia dipilih untuk berada dalam senarai akhir Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.

Mesti Baca

KEDUDUKAN Malaysia di persada digital dunia semakin kukuh apabila 12 projek dari negara ini diiktiraf dan dipilih untuk berada dalam senarai akhir Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pengiktirafan itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan pembangunan digital negara.

Katanya, ia juga mencerminkan komitmen Malaysia yang berterusan dalam memacu keterangkuman digital serta mempromosikan inovasi mampan selaras dengan aspirasi global di bawah rangka kerja WSIS.

“MCMC menyifatkan pemilihan projek-projek Malaysia daripada ratusan penyertaan di seluruh dunia sebagai satu pencapaian hebat dan bukti kedudukan negara yang semakin kukuh dalam landskap digital antarabangsa,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadiah WSIS 2025 dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan sokongan pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antara projek yang berjaya disenarai pendek ialah inisiatif Kesalinghubungan Luar Bandar Ditakrifkan Semula melalui projek SMART600 yang memberi fokus kepada masa depan digital di Sarawak serta MetaHRise yang mentransformasi proses suai tugas dan pembangunan bakat menggunakan teknologi metaverse.

Turut disenaraikan ialah Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan; Program Masyarakat Tanpa Tunai MCMC; Kiosk Telekesihatan Pintar Sihat Xpress dan inisiatif Memperkasakan Komuniti untuk Penggunaan AI yang Sihat dan Beretika melalui program kerjasama MCMC dan Microsoft AI TEACH.

Katanya, kesemua projek tersebut merangkumi pelbagai Garis Tindakan (Action Lines) WSIS dan amat selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB.

“Malah, kejayaan berterusan pada tahun 2023 dan 2024 turut menyumbang kepada reputasi Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penggunaan ICT untuk pembangunan inklusif.

“Dengan sokongan padu merentas kementerian dan agensi kerajaan, projek-projek ini mendorong ke arah masyarakat yang lebih terhubung secara digital dan diperkasakan,” katanya.

MCMC berkata, tidak hanya itu, Malaysia juga diberi penghormatan sebagai Rakan Strategik Platinum bagi WSIS+20 tahun ini.

Katanya, pemilihan Malaysia itu sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh negara dalam perbincangan digital global serta memperlihatkan kemunculan Asia Tenggara sebagai kuasa digital serantau.

Sementara itu, MCMC turut menggalakkan rakyat Malaysia menyokong usaha-usaha tempatan dengan mengambil bahagian dalam undian awam bagi WSIS 2025 yang kini telah dibuka.

Orang ramai diseru untuk mengundi projek-projek yang boleh memberi inspirasi dan membawa manfaat besar khususnya kepada masyarakat di peringkat global. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan