Thursday, July 23, 2026

Di sebalik tekanan tarif, tersingkap potensi baharu

Cabaran tarif ini tidak semestinya membawa keruntuhan, tetapi mungkin membuka jalan ke arah peningkatan nilai tambah dalam rantaian pengeluaran global - Dr Goh

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

TATKALA dunia sedang berdepan dengan gelombang baharu proteksionisme, keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan tarif balas terhadap negara-negara tertentu telah mewujudkan tekanan langsung kepada ekonomi dunia.

Sebagai antara rakan dagang utama AS, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan tersebut.

Bagaimanapun, pensyarah dari Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Goh Lim Thye bersikap positif bahawa Malaysia masih memiliki ruang untuk bertindak dan lebih penting, peluang untuk menyusun semula strategi ekonominya.

Menurut Goh, impak jangka pendek terhadap sektor eksport adalah nyata, terutama sekali bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) yang selama ini menjadi tunjang utama eksport negara.

Sektor tersebut, katanya, bukan sahaja paling terdedah, malah paling bergantung kepada permintaan dari pasaran Amerika.

DR GOH LIM THYE

“Banyak syarikat dalam sektor ini dijangka perlu mengubah model perniagaan mereka, dan sesetengahnya sedang mempertimbangkan untuk menukar peranan Malaysia daripada pangkalan pengeluaran semata-mata kepada hab serantau yang melayani permintaan dari ASEAN, Timur Tengah dan Asia Selatan.

“Dalam erti kata lain, cabaran tarif ini tidak semestinya membawa keruntuhan, tetapi mungkin membuka jalan ke arah peningkatan nilai tambah dalam rantaian pengeluaran global,” katanya kepada Edisi 9.

Ketika sebahagian masyarakat mula bimbang tentang kemungkinan kemelesetan ekonomi, Goh menegaskan, kebimbangan itu tidak berasas buat masa ini.

“Berdasarkan indikator semasa, Malaysia masih menunjukkan prestasi yang kukuh. Pertumbuhan permintaan domestik, pelaburan dalam infrastruktur dan pemulihan pasaran buruh menjadi asas kukuh yang menyokong kenyataan Perdana Menteri bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.

“Malah, eksport negara ke pasaran alternatif seperti China, ASEAN dan UAE masih menunjukkan trend peningkatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan mutlak kepada Amerika Syarikat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak dinafikan bahawa ringgit akan mengalami sedikit tekanan susulan ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Dalam konteks ini, katanya, beliau melihat ringgit bukan sebagai mangsa, tetapi sebagai alat penyesuaian semula harga yang mampu mengimbangi daya saing eksport negara ke pasaran bukan tradisional.

“Dalam jangka panjang, penurunan nilai ringgit yang terkawal mampu memberi kelebihan kepada pengeksport tempatan.

“Dari segi pelaburan asing pula, beliau menjangka penyusunan semula akan berlaku, terutamanya dalam kalangan pelabur AS yang mungkin menukar sasaran pasaran mereka.

“Namun Malaysia masih kekal menarik, lebih-lebih lagi jika insentif pelaburan kekal kompetitif dan dasar ekonomi terus mesra perniagaan,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada Malaysia terlalu bergantung kepada pasaran AS, Dr. Goh menjelaskan, walaupun AS menyumbang hampir 15 peratus keseluruhan eksport negara, ia bukanlah satu bentuk pergantungan mutlak.

Katanya, banyak sektor lain seperti minyak sawit, komoditi pertanian dan komponen automotif mempunyai pasaran utama di negara-negara lain seperti China, India dan rantau ASEAN.

Apa yang lebih penting, katanya, ialah keupayaan Malaysia untuk mempelbagaikan destinasi eksport dan menstruktur semula jenis produk yang ditawarkan kepada dunia.

Beliau memberi contoh peningkatan eksport digital Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi yang melonjak lebih 14 peratus pada tahun lalu sebagai satu petunjuk jelas bahawa transformasi sedang berlaku.

Dalam aspek dasar pula, beliau mencadangkan pendekatan yang berperingkat dan ia bermula dengan sokongan bersasar dalam bentuk dana penyesuaian eksport serta jaminan kredit ke pasaran baharu, sehinggalah kepada pelaburan dalam automasi, robotik, dan pematuhan kepada piawaian ESG.

“Semua ini bertujuan mengekalkan daya saing eksport Malaysia dalam jangka sederhana.

“Dalam tempoh yang lebih panjang, beliau berpendapat bahawa Malaysia perlu membina kapasiti sebagai pusat dagangan serantau, khususnya dalam sektor digital, halal dan tenaga hijau.

“Hanya dengan memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem perdagangan dan pelaburan serantau, negara dapat melangkah keluar daripada bayang-bayang kebergantungan kepada satu pasaran tunggal,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kepentingan kerjasama serantau dalam menangani isu ini.

Dalam konteks ASEAN, Malaysia boleh dan harus memainkan peranan kepimpinan untuk menyuarakan kebimbangan kolektif di platform seperti Pertubuhan Perdagagan Dunia (WTO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Dalam masa yang sama, integrasi rantaian bekalan serantau harus diperhebat agar pengeluaran dapat disusun semula dalam rantau ini tanpa perlu berpindah ke luar ASEAN.

“Inisiatif pelaburan rentas sempadan seperti koridor Johor–Singapura–Batam perlu diperluaskan agar rantau ini kekal menarik bagi pelabur antarabangsa yang kini sedang menilai semula kedudukan geostrategik mereka,” katanya.

Dr. Goh berkata, krisis perdagangan seperti ini bukan perkara baharu bagi Malaysia tetapi apa yang membezakan kali ini adalah skalanya dan kesannya yang mungkin lebih kompleks.

“Namun, dengan dasar yang bersasar, kerjasama serantau yang aktif dan keberanian untuk merombak struktur ekonomi, Malaysia bukan sahaja mampu bertahan, malah boleh muncul lebih kukuh daripada sebelumnya,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan