Sunday, June 14, 2026

Lawatan Anwar ke UK: Pelaburan mencanak, imej melonjak

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

TIDAK dapat dinafikan lagi lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke United Kingdom (UK) membuktikan kehebatan kepimpinannya dengan kejayaan memeterai potensi pelaburan bernilai RM11.5 bilion.

Rangkuman lawatan kali ini menyerlahkan wawasan beliau dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia-UK dan yang paling utama mengangkat imej negara sebagai kuasa ekonomi serta diplomasi yang dihormati di peringkat global.

Kerjasama Ekonomi dan Pelaburan Berimpak Tinggi

Salah satu kejayaan paling signifikan dalam lawatan Anwar adalah pencapaian dalam sektor pelaburan dan eksport.

Dengan potensi pelaburan berjumlah RM11 bilion yang dirundingkan dalam tempoh lima tahun akan datang, serta RM500 juta potensi eksport, ini membuktikan bahawa Malaysia berjaya menarik perhatian pelabur-pelabur antarabangsa.

Pertemuan dengan 31 kapten industri dan syarikat terkemuka UK, yang merangkumi sektor pembuatan, farmaseutikal, tenaga boleh baharu, ekonomi digital, dan perbankan, menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri dalam menjual potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan global.

Projek tenaga hijau seperti ladang solar Kampana oleh TNB bernilai RM600 juta juga menjadi lambang Malaysia sebagai pemimpin dalam sektor tenaga lestari.

Selain daripada memberi manfaat kepada ekonomi, usaha ini menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap perubahan iklim dan teknologi hijau.

Rakyat Malaysia dapat melihat hasil konkrit daripada usaha ini apabila sektor-sektor yang dirundingkan ini mula menghasilkan peluang pekerjaan baharu, membawa teknologi moden ke negara, dan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Di mata rakyat, ini bukan sahaja soal pelaburan tetapi juga pengukuhan maruah negara di pentas dunia.

Pemerkasaan Malaysia sebagai Pemimpin ASEAN

Keputusan untuk meningkatkan kerjasama ASEAN-UK, yang turut melibatkan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), memberi impak besar kepada usaha Malaysia menjadi pemacu utama dalam integrasi ekonomi ASEAN.

Dalam kenyataan bersama, Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer menyokong penuh usaha Malaysia ini dan memuji inisiatif zon ekonomi khas yang inovatif, yang berpotensi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam persaingan global.

Anwar Ibrahim bersama Keir Starmer di Downing Street di London. – Foto: PMO

Pengukuhan kerjasama Malaysia-UK ini juga dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan ASEAN di mata dunia, dengan Malaysia memainkan peranan penting sebagai jambatan antara Barat dan Asia Tenggara.

Langkah ini memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa negara mampu menjadi pemimpin regional yang berwibawa, sekali gus memastikan manfaat ekonomi turut dirasai oleh rakyat tempatan, terutamanya di kawasan yang terlibat dalam zon ekonomi khas tersebut.

Projek Pembangunan Bersepadu YTL, Simbol Kejayaan Korporat Malaysia

Projek pembangunan Bristol Brabazon, yang melibatkan syarikat YTL Malaysia sebagai pelabur utama, menjadi satu lagi sorotan penting dalam lawatan ini.

Dengan potensi menjana eksport bernilai RM1.1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, projek ini tidak hanya mencerminkan kejayaan sektor swasta Malaysia di luar negara tetapi juga bagaimana kepimpinan kerajaan Malaysia mampu menyokong syarikat tempatan di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia pastinya bangga melihat syarikat tempatan seperti YTL menjadi pemain utama dalam pembangunan infrastruktur UK.

Ini bukan sahaja membuktikan daya saing korporat Malaysia tetapi juga menunjukkan kepimpinan yang mendorong sektor swasta untuk berinovasi dan bersaing di peringkat global.

Syarahan umum di Kolej Ekonomi London

Dalam kesibukan kerja, kecintaan Anwar pada bidang akademik telah membuka ruang bagi beliau menyampaikan syarahan umum pada sekumpulan pelajar London School of Economics (LSE) bertajuk “The Adaptive Edge: Malaysia’s Global Strategy in Uncertain Era” memberikan mesej kuat kepada dunia tentang visi Malaysia dalam menangani cabaran global.

Dalam syarahan tersebut, Perdana Menteri menonjolkan Malaysia sebagai negara aman, stabil, dan terbuka kepada pelaburan, dengan dasar yang progresif dan mampan.

Kejayaan Malaysia mempromosikan dirinya sebagai lokasi strategik untuk pelaburan dan pemimpin dalam dasar inklusif bukan sahaja menarik perhatian pemimpin antarabangsa tetapi juga membangkitkan rasa bangga rakyat Malaysia.

Rakyat dapat melihat kepimpinan yang berani dalam menyampaikan mesej Malaysia kepada dunia dengan penuh keyakinan.

Keterlibatan Diaspora Malaysia Mengukuhkan Jati Diri dan Ingatan Untuk Berbakti

Pertemuan dengan lebih 700 rakyat Malaysia yang bermastautin di UK menunjukkan sisi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mesra rakyat.

Dalam sesi soal jawab yang berlangsung, Perdana Menteri mengambil peluang untuk mendengar pandangan dan aspirasi komuniti diaspora.

Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat di luar negara tetapi juga menjadi bukti pendekatan kepimpinan mengambil kira suara semua pihak.

Rakyat Malaysia di tanah air turut menyambut baik inisiatif ini kerana ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.

Melalui langkah ini, diaspora Malaysia dapat memainkan peranan penting sebagai duta kecil yang menyumbang kepada hubungan antarabangsa Malaysia

Secara keseluruhannya, lawatan rasmi ini bukan sahaja membawa pulang pencapaian ekonomi yang signifikan tetapi juga menaikkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

Rakyat dapat melihat bagaimana Anwar tidak hanya sekadar bertemu pemimpin-pemimpin dunia tetapi juga membawa perubahan besar yang nyata kepada negara.

Kepimpinan beliau yang visioner dan berani meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk menghadapi cabaran global dengan penuh keyakinan.

Dengan komitmen kepada pembangunan mampan, ekonomi lestari, dan hubungan strategik global, Anwar sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi kuasa yang dihormati di peringkat dunia dan itu, adalah pencapaian yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan