PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dha hala dengan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa di Brussel, Belgium semalam.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin tersebut membincangkan soal keamanan dan hak asasi manusia membabitkan gencatan senjata di Gaza dan Ukraine.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu membuka seluas-luasnya peranan yang boleh dimainkan secara bersama antara Malaysia dan Majlis Eropah.
Ini termasuk dalam mencorakkan sinergi kepelbagaian budaya, kesatuan dan kebersamaan merentasi benua seluruh dunia.
“Khususnya membentuk persefahaman terkait soal keamanan dan hak asasi manusia membabitkan soal gencatan senjata di Gaza dan Ukraine,” katanya.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Costa di Europe Building di Brussel sempena lawatan kerja dua hari ke negara tersebut.

Anwar berkata, di bangunan sama, beliau turut bertemu dengan Wakil Tinggi untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas.
Mereka bertukar pandangan mengenai soal demokrasi, perihal kemasyarakatan, pelaburan, perdagangan dan kecerdasan buatan (AI).
Sebelum itu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Alexander De Croo bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium.
Turut dibincangkan terkait pendidikan, pelaburan, perdagangan, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama Kesatuan Eropah (EU) selain isu antarabangsa antaranya krisis di Gaza, Myanmar dan konflik Rusia-Ukraine.
“Kami percaya, dan senada untuk terus memperkukuh hubungan dan membentuk sinergi kerjasama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat,” kata beliau. – Edisi 9