AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memanfaatkan Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) sebagai platform untuk meneroka dan memahami teknologi
keselamatan maritim terkini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, langkah itu selaras dengan usaha agensi tersebut dalam memperkukuhkan keupayaan pengawasan dan keselamatan perairan negara sebagaimana Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.
Beliau berkata, penyertaan Maritim Malaysia dalam AISSE’25 juga seiring dengan Teras Tujuh yang diperkenalkan beliau iaitu ‘Penggunaan Teknologi’ dalam menjaga keselamatan perairan negara dengan lebih efektif.
“AISSE’25 adalah peluang terbaik untuk Maritim Malaysia mengakses teknologi
keselamatan terkini, sekaligus meningkatkan keupayaan Agensi dalam
memantau dan melindungi perairan negara.
“Saya turut berharap AISSE’25 akan membentuk rangkaian strategik Maritim
Malaysia yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa dalam memerangi ancaman jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Perasmian AISSE’25 yang
disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution
Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik
Jeman serta ketua-ketua jabatan di bawah KDN.
Sementara itu, Mohd Rosli turut menyahut hasrat Ahmad Zahid yang mahu melihat Malaysia terus berada dalam kelompok 10 negara paling aman di dunia.
Untuk itu, jelas beliau, Maritim Malaysia akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan bekerjasama dengan agensi sahabat dalam memerangi
aktiviti salah laku dan ancaman jenayah maritim di seluruh negara.
Selain persidangan, Maritim Malaysia turut menyertai pameran di reruai KDN
dengan menampilkan aset milik Agensi seperti jetski dan Mobile Surveillance Unit (MSU).
Selain itu, pengunjung pameran turut berpeluang merasai simulasi
operasi penguatkuasaan maritim melalui aktiviti Virtual Reality (VR) yang
menarik.
AISSE’25 yang berlangsung 20 hingga 22 Januari di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) menghimpunkan lebih 100 organisasi
keselamatan, lebih 1,000 delegasi persidangan, dan 50 delegasi VIP dari lebih 20 negara.
Acara itu menjadi landasan penting untuk membincangkan isu-isu seperti
keganasan, ekstremisme, penyeludupan, dan ancaman keselamatan siber. – Edisi 9

