SEBANYAK 36 terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah selesai menjalani kerja-kerja pengorekan setakat ini, dengan terbaharu membabitkan Terowong Gombak.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pembinaan ECRL itu merangkumi pembinaan 41 terowong dengan panjang keseluruhan kira-kira 69 kilometer (km).
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 21 terowong terletak dalam Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala baki 20 lagi melibatkan Seksyen C iaitu Mentakab-Pelabuhan Klang.
Beliau berkata, daripada 20 terowong ECRL di Seksyen C, sebanyak sembilan terowong terletak dalam Selangor termasuk Terowong Serendah 1 sepanjang 3.50 km dan Terowong Serendah 2 sepanjang 9.85 km yang kedua-duanya sedang dalam kerja pengorekan.
Bagi pengorekan Terowong Gombak sepanjang 959 meter itu, Darwis berkata, pihaknya telah berjaya melakukan penembusan sebulan lebih awal daripada jadual.
Katanya, penembusan Terowong Gombak membuktikan teknologi pengorekan terowong yang maju serta dedikasi padu pasukan ECRL yang terlibat sekali gus mendorong pengorekan baki dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Penembusan Terowong ECRL Gombak menandakan satu lagi pencapaian dalam kemajuan projek ini, kerana ia merupakan komponen penting untuk menyiapkan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang Disember 2026.
“Kami optimis untuk memulakan pengoperasian ECRL dari Januari 2027 selaras dengan aspirasi rakyat dan komuniti perniagaan dengan menyediakan pengangkutan yang lancar untuk penumpang dan kargo,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak di portal keluar terowong oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.
Hadir sam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Kong Qi.
Untuk rekod, Projek ECRL telah mencatatkan penembusan terowong pertamanya di Terowong Paka sepanjang 1.1 km di Terengganu enam bulan lebih awal daripada jadual pada April 2021.
Manakala, penembusan terowong pertama di Selangor mencatatkan penembusan Terowong Sungai Buaya 2 sepanjang 469 meter pada Mei 2024.
Darwis berkata, letupan terakhir di Terowong Gombak telah menembusi penghadang terakhir kira-kira 38 meter dari pintu masuk terowong.
“Pencapaian ini merupakan hasil keseluruhan kira-kira 5,8 juta jam tenaga kerja dengan menggunakan kaedah ‘gerudi dan letup’ yang menembusi kebanyakannya granit lapuk (weathered granite),” katanya.
Terowong Gombak sebelum ini telah mencapai tahap kemajuan sepanjang 892 meter dan mempunyai purata ketinggian 12 meter serta elebaran 13 meter.
Kerja-kerja pengorekan Terowong Gombak telah dimulakan pada Jun 2023 dan dijadualkan selesai pada suku keempat tahun 2024 dan siap keseluruhan menjelang Mac tahun depan.
Pembinaan terowong ini membolehkan landasan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara di kawasan Batu 11, Gombak. – Edisi 9

