UNIVERSITI Tenaga Nasional (Uniten) baru-baru ini menganjurkan bengkel pemerkasaan kecerdasab buatan (AI) untuk kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
Program yang dijalankan melalui Geran Komuniti Yayasan Canselor Uniten bertujuan memberi gambaran jelas bahawa masa depan pendidikan tidak boleh lagi dilihat dari kacamata tradisional.
Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Siswazah Uniten, Ts. Mahlindayu Tarmidi berkata, program tersebut merupakan satu inisiatif universiti itu untuk pembangunan komuniti dan transformasi digital.
Beliau berkata, program tersebut disokong oleh gabungan tenaga pengajar dari tiga kolej yang berbeza latar belakang dan bukan hanya dari jurusan teknikal tetapi juga bukan teknikal.
“Gabungan tenaga akademik yang berbeza ini menunjukkan bahawa AI bukan sekadar teknologi untuk jurutera, tetapi melibatkan semua bidang ilmu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahlindayu berkata, dalam bengkel tersebut tumpuan diberikan kepada teknik prompting menggunakan ChatGPT.
“Saya percaya, salah satu isu terbesar yang perlu kita selesaikan adalah mentaliti kalangan pendidik.
“Kita sering berbicara tentang teknologi, tetapi jarang sekali membincangkan hakikat bahawa pendidikan adalah pengembaraan tanpa penghujung.
“Dalam dunia AI, pengetahuan lama bukan sekadar ketinggalan, malah boleh menjadi usang,” katanya.
Justeru, menerusi bengkel tersebut para peserta bukan sahaja diajar tentang AI, tetapi juga didorong untuk memikirkan bagaimana teknologi ini boleh diadaptasi dalam konteks mereka sendiri. – Edisi 9

