Monday, June 15, 2026

Lebih 140,000 individu berjaya ‘dibebaskan’ daripada muflis

Mesti Baca

KERAJAAN melalui Jabatan Insolvensi Malaysia berjaya membebaskan seramai 142,510 individu di negara ini daripada muflis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu jauh mengatasi sasaran 130,000 sebelum ini.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil Program Dasar Peluang Kedua di bawah prinsip Rukun Ihsan dalam kerangka Malaysia Madani yang dilaksanakan jabatan tersebut.

Usaha itu, menurut beliau, bagi membantu golongan muflis untuk kembali menyumbang kepada ekonomi serta menjalani kehidupan yang baharu.

“Hasil pencapaian ini turut memberi manfaat bukan sahaja kepada golongan bankrap (muflis) malahan keluarga bankrap yang di antaranya sebagai ketua keluarga ke arah pembentukan pendapatan isi rumah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis  Karnival Literasi Undang-Undang anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-undang peringkat Parlimen Pengerang di Pengerang, Johor hari ini.

Sementara itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mahukan agar Jabatan Bantuan Guaman (JBG) menggerakkan klinik guaman bergerak Justice On Wheel (JOW) ke seluruh  kawasan Pengerang ini agar capaian perkhidmatan dan akses kepada bantuan guaman dapat dimaksimakan.

Beliau berkata, ini merupakan satu aspek penting ke arah kesejahteraan rakyat kerana ia memastikan bahawa sistem keadilan kita adalah inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan rakyat Malaysia. 

“Program ini memfokuskan kepada penyampaian keadilan secara menyeluruh dan efisien, terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau yang kurang bernasib baik.

“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Madani bahawa tiada satu pun rakyat yang tertinggal dalam mendapat akses kepada keadilan,” katanya. – Edisi 9 

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan