AHLI Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor mencipta sejarah sebagai Orang Asli pertama menduduki kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Pelantikan Ramli yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu dibuat dalam Mesysuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan Ramli membuktikan komitmen parti untuk menghargai dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang termasuk Orang Asli.
“UMNO akan terus komited untuk memperjuangkan suara dan hak-hak masyarakat Orang Asli dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama memacu kegemilangan negara dalam landskap politik negara,” katanya malam ini.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, langkah tersebut sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat nenerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya.
Dalam pada itu, ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada p a d a tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum.
Katanya, ini sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang. – Edisi 9

