Wednesday, July 22, 2026

Penyewa premis MARA jana jualan lebih RM1.8 bilion

Mesti Baca

SEBANYAK RM1.8 bilion jualan berjaya dihasilkan oleh para penyewa premis MARA di samping membuka peluang pekerjaan sebanyak 14,409 orang, sekali gus mampu meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang teruja dengan pencapaian tersebut berkata, pada masa yang sama 35 penyewa premis MARA berjaya membawa produk dan perkhidmatannya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, antara penyewa terbabit ialah Bubbles O2, Kumang & Co., Kasih Concept, Easy Paint Sdn Bhd, Fatihah Frozen Sdn Bhd dan NK Exclusive Business yang berjaya menembusi pasaran luar negara dengan produk masing-masing.

Menurutnya, ini meliputi kluster makanan dan minuman, perkhidmatan serta gaya hidup bagi pasaran negara-negara Eropah, Asia Barat, Asia dan Asia Tenggara.

“Ini membuktikan bahawa produk tempatan telah diterima di negara luar dan MARA akan terus komited dalam memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Penyewa MARA Se-Malaysia di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

Lebih 600 penyewa premis perniagaan MARA dari seluruh negara menghadiri konvensyen itu.

Bersama para penyewa MARA terbaik.

Asyraf Wajdi berkata, konvensyen yang julung kali diadakan ini memberi peluang kepada para penyewa MARA untuk berinteraksi secara bersemuka dan bertukar pandangan dalam meluaskan jaringan perniagaan mereka.

“Saya begitu teruja dengan kehadiran yang begitu ramai sebegini menunjukkan bahawa penyewa-penyewa premis MARA ini bersedia bergading bahu bersama Pengurusan MARA bagi membantu lebih ramai yang akan mendapat manfaat daripada pelbagai program keusahawanan di bawah MARA,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak RM48 juta diperuntukkan MARA bagi menampung perbelanjaan mengurus dan penyelenggaraan fasiliti serta premis perniagaannya.

Beliau berkata, ia meliputi RM32 juta belanja mengurus dan RM16 juta diperuntukkan untuk selenggaraan premis perniagaan bagi meningkatkan imej.

“Setakat ini, berdasarkan rekod pemantauan dan semakan yang dibuat, sebanyak 6,666 premis yang telah disewakan dan hanya 6,378 premis beroperasi sepenuhnya.

“Kita dapati ada lot-lot perniagaan yang disewakan tetapi tidak beroperasi seperti digariskan Mara,” katanya.

Justeru, katanya beliau sudah mengarahkan pegawai Mara yang memantau premis untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada penyewa yang ingkar. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan