TIMBALAN Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli telah dilantik sebagai Ketua Pengarah JPJ yang baharu berkuat kuasa mulai hari ini.
Aedy Fadly mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Bandar), Universiti Teknologi Berlin, Jerman berpengalaman dalam perancangan strategik dasar, isu dan sistem berkaitan pengangkutan jalan serta perancangan operasi.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Setiausaha Bahagian Perolehan dan Aset di Kementerian Pendidikan Malaysia serta pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan.
“Berdasarkan kepada pengalaman dan kepimpinan beliau akan terus memacu kecemerlangan JPJ dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, seluruh warga cemerlang JPJ mengucapkan syabas dan tahniah kepada Aedy Fadly atas pelantikan tersebut. – Edisi 9

