Friday, June 5, 2026

Tabung Wakaf MARA: PM setuju percepat dana awal RM100 juta

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal sebanyak RM100 juta untuk tabung tersebut yang akan diwujudkan secepat mungkin.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persetujuan itu dinyatakan Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, penyaluran dana tersebut hanya akan dibuat selepas MARA mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Mutawalli.

“Tabung Wakaf MARA ini penting untuk dimanfaatkan bagi membantu pelajar-pelajar MARA dalam kalangan Melayu-Bumiputera yang susah dan dari keluarga berpendapatan rendah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri setuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf MARA Madani setelah MARA mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai Mutawalli.

“Moga Allah permudahkan usaha membantu lebih ramai lagi pelajar-pelajar susah dan kurang berkemampuan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Pada Mac lalu, Anwar ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA Madani dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta dan menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Sebelum ini Asyraf Wajdi berkata, idea penubuhan tabung wakaf tersebut setelah beliau sendiri turun padang ke institusi pendidikan MARA seluruh negara sepanjang kurang dua tahun menerajui agensi itu.

Beliau berkata, secara umumnya lebih 70 peratus para pelajar yang mengikuti pengajian di institusi berkenaan adalah dalam kalangan keluarga B40, M40, miskin dan berpendapatan rendah.

“Saya juga banyak menerima maklum balas bagaimana kesukaran sebahagian besar mereka untuk mengeluarkan perbelanjaan awal untuk masuk ke IPMA, bahkan ramai yang ikat perut sepanjang pengajian.

“Sebab itulah saya cadangkan Tabung Wakaf MARA yang boleh diikhtiarkan untuk mengumpulkan dana wakaf (sedekah jariah) yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan membantu pelajar-pelajar yang susah.

“Ia juga mampu membuka peluang untuk alumni dan bekas-bekas pelajar dalam ekosistem MARA yang telah berjaya dan mahu kembali menyumbang kepada Tabung Wakaf MARA untuk manfaat orang lain pula,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan