BANK Rakyat menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah yang membabitkan empat daerah termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, pihaknya terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan yang dihadapi pelanggannya.
Sehubungan itu beliau berharap agar kemudahan moratorium yang disediakan dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.
“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini yang mana amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Hanis berkata, pelanggan yang menghadapi kesukaran membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium tersebut.
Katanya, ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i.
Jelas beliau, pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel ke [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
“Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan,”katanya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800.
Selain itu, pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.
Sehingga pagi semalam, seramai 503 orang daripada 145 keluarga setakat pagi ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat daerah.
Menurut laman sesawang info bencana banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 296 mangsa daripada 97 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang.
Selain itu, 156 mangsa daripada 34 keluarga berada di Dewan Sri Putatan manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga berada di PPS SK Selupoh dan 18 lagi mangsa daripada lima keluarga di Kampung Bontoi Tamparuli. – Edisi 9

