AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan integriti dalam kalangan warganya.
Agensi itu pada masa sama tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan isu tersebut.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, Maritim Malaysia memandang serius setiap laporan dan aduan yang diterima.
Beliau berkata, semua laporan dan aduan tersebut akan disiasat secara terperinci seterusnya mengambil tindakan tegas kepada warganya yang didapati bersalah.
“Usaha berterusan akan dilakukan pihaknya melalui Unit Integriti Maritim Malaysia bagi memperkukuh nilai integriti dalam kalangan warga kerja agensi ini melalui program latihan dan kesedaran yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tentang aduan yang diterima membabitkan Maritim Malaysia seperti mana dilapor oleh media hari ini.
Berdasarkan laporan tersebut, sebanyak 16 kes berkaitan Maritim Malaysia telah direkodkan.
Hasil semakan, antara kes aduan yang dilapor melibatkan beberapa isu seperti salah guna kuasa, pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tidak terkecuali isu-isu peribadi.
Saiful Lizan berkata, Maritim Malaysia kini giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan juga dalam proses pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Anti Bribery Management System (ABMS).
Beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan tindakan ‘preventive’ dengan mengadakan program pengukuhan integriti kepada warganya.
Ini termasuk antaranya Kursus Pengukuhan Integriti, Program Kesedaran Keberhutangan Serius, Program Jelajah dan Bicara Integriti di Peringkat Ibu Pejabat, Maritim Negeri dan Zon Maritim serta melaksanakan Kempen Kesedaran Integriti melalui penerbitan poster, risalah dan jurnal.
“Antara penambahbaikan yang akan dibuat dalam memastikan tiada pelanggaran SOP ketika melaksanakan tugas adalah pemakaian ‘body worn camera’ kepada semua anggota yang bertugas di lapangan.
“Ini memerlukan sedikit masa selepas proses perolehan peralatan tersebut berjaya dilaksanakan agensi ini,” katanya.
Ujar beliau lagi, mekanisme penyaluran aduan juga bakal diperkemaskan melalui Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowing).
Katanya, ini bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan salah laku integriti dapat dilakukan dengan identiti pengadu dijaga sebaiknya.
Sementara itu, Saiful Lizan turut menyeru semua warga Maritim Malaysia agar terus berpegang teguh kepada prinsip integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas harian.
Ini kerana, katanya, integriti merupakan teras kepada keberkesanan perkhidmatan awam dan keselamatan negara khususnya di Zon Maritim Malaysia.
Orang awam juga boleh melaporkan sebarang maklumat berkaitan salah laku di kalangan anggota Maritim Malaysia menerusi Saluran Aduan Integriti Maritim Malaysia iaitu 03-89957053 waktu pejabat atau boleh menggunakan saluran whatsapp Unit Integriti Maritim Malaysia di talian 011-35577285. – Edisi 9

