JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru semua masjid dan surau di seluruh di Selangor bersoladariti dengan melaksanakan solat hajat selepas solat Maghrib atau Isyak serta bacaan Qunut Nazilah serta merta.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JAIS juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
“JAIS menyeru semua masjid dan surau di seluruh negeri ini bersoladariti dengan melaksanakan solat hajat selepas solat Maghrib atau Isyak serta bacaan Qunut Nazilah serta merta.
“Ia sehingga selama tujuh hari berturut-turut bagi mengharapkan bantuan daripada Allah agar rakyat Palestin diberikan kekuatan dan keyakinan untuk terus mempertahankan kedaulatan Baitulmaqdis daripada cengkaman imperialisme,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Israel semalam mengenakan kepungan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza termasuk memutuskan bekalan air, selain terus mengebom sasaran di kawasan Palestin yang sesak.
Ini sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut Hamas yang disamakan dengan serangan 11 September.
Mohd. Shahzihan berkata, JAIS menyokong penuh apa juga tindakan rakyat Palestin dalam mempertahankan maruah dan tanah air mereka.
“Semoga kemenangan dan keamanan buat rakyat Palestin akan tercapai dengan doa seluruh umat Islam lalu memperoleh bantuan daripada Allah,” katanya. – Edisi 9

