SKUAD regu sepak takraw negara gagal mempertahankan pingat emas di Sukan Asia Hangzou 2022 selepas tewas kepada musuh tradisi, Thailand, pagi tadi.
Dalam aksi Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, skuad negara memberikan kepercayaan kepada Muhammad Zarif Marican bersama pemain senior, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir.
Menentang Thailand yang membariskan Pansan Pichet, Yupadee Pattarapong dan Khamchan Sittipong, skuad negara tumpas di set pertama, 21-15 dalam tempoh 28 minit.
Bagaimanapun, Malaysia memberi tentangan sengit di set kedua dengan kedua-dua pasukan saling mengejar mata.
Pada kedudukan 20-19 yang didahului Thailand, pegawai perlawanan membuat keputusan kontroversi apabila mengesahkan rejaman bola masuk ke gelanggang Malaysia sedangkan ulang tayang menyaksikan bola tersebut keluar.
Keputusan tersebut membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain negara yang cuba membuat protes namun enggan dilayan sekali gus menyaksikan Thailand meraih emas.
Pada edisi Sukan Asia kali ini, kem sepak takraw negara terpaksa berpuas hati dengan dua pingat perak selepas tewas kepada Thailand dalam acara berpasukan sebelum ini. – Edisi 9